Reus (kanan) jaring gol kemenangan Dortmund. -Foto EPA
Reus (kanan) jaring gol kemenangan Dortmund. -Foto EPA
Reuters

BERLIN: Borussia Dortmund memerlukan penalti lewat jaringan Marco Reus pada masa tambahan sebelum menewaskan pasukan divisyen dua, Union Berlin 3-2, awal pagi tadi dan menempah tempat ke pusingan ketiga Piala Jerman.

Skuad Berliners itu bangkit dua kali selepas ketinggalan tetapi Christian Pulisic yang menjaringkan gol pertama dan menjadi perancang kepada gol kedua memperolehi penalti yang disempurnakan Reus sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah Dortmund dalam semua kejohanan.

Pendahulu Bundesliga itu dipaksa bekerja keras oleh Berliners yang menduduki tempat ketiga divisyen dua dan berterima kasih kepada pemain dari Amerika Syarikat, Pulisic, 20, yang menjaringkan gol pendahuluan.

Dortmund yang pertahanannya Abdou Diallo meninggalkan padang akibat kecederaan pada minit ke-13 gagal menggugat kubu lawan sehinggalah di penghujung babak pertama.

Pulisic menolak bola masuk selepas tandukan Shinji Kagawa gagal ditampan kemas penjaga gol Union Rafal Gikiewicz pada minit ke-40.

Percubaan Union terkena palang dua minit kemudian hasil rembatan cantik Kenny Prince Redondo dan memperoleh gol penyamaan apabila pemain gantian Sebastian Polter menjaringkan gol hasil sentuhan pertamanya.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka hanya bertahan 10 minit apabila Pulisic bijak melorongkan bola kepada Maximilian Philipp yang disudahkan dengan cemerlang.

Union rtidak mudah menyerah kalah dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 apabila tandukan Polter gagal diselamatkan penjaga gol Dortmund, Marwin Hitz.

Pasukan tuan rumah cekal bertahan dan sesekali melancarkan serangan balas dalam masa kecederaan tetapi Pulisic menghampakan mereka apabila berjaya memperoleh penalti dan disempurnakan Reus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 8:22 AM