AKSI perlawanan antara Greuther Fuerth menentang Borussia Dortmund. Foto REUTERS
AKSI perlawanan antara Greuther Fuerth menentang Borussia Dortmund. Foto REUTERS
Reuters

PASUKAN Bundesliga, Borussia Dortmund hampir disingkirkan seawal pusingan pertama Piala Jerman menentang pasukan liga kedua, Greuther Fuerth sebelum bangkit memperoleh kemenangan 2-1 selepas masa tambahan hari ini.

Marco Reus menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua masa tambahan, selepas pemain baharu, Axel Witsel menyamakan kedudukan buat kelab Dortmund pada minit kelima masa tambahan, dengan jurulatih Lucien Favre membuat penampilan sulung.

Dortmund yang akan bersaing dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini, kelihatan hilang arah selepas Sebastian Ernst menjaringkan gol bagi tuan rumah pada minit ke-77.

Tetapi Witsel berjaya menyamakan kedudukan sejurus sebelum wisel penamat dan Reus menyelamatkan kelab itu daripada dimalukan dengan sepakan bertenaga bagi memastikan kejayaan mereka lima hari sebelum Bundesliga bermula.

Dortmund, yang dilaporkan berbelanja 70 juta euro (RM330.13 juta) bagi mendapatkan pemain baharu, sepatutnya mendahului selesa di awal permainan.

Reus, Mahmoud Dahoud dan Marius Wolf kesemuanya memperoleh peluang tetapi mensia-siakannya sepanjang 45 minit pertama perlawanan.

Ia juga kisah yang sama selepas waktu rehat apabila percubaan Christian Pulisic terkena tiang.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:31 AM