LIGA M adalah juara Asia dan naib juara dunia kes tunggakan gaji sejak beberapa tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
LIGA M adalah juara Asia dan naib juara dunia kes tunggakan gaji sejak beberapa tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

mohd

Kuala Lumpur: Memalukan negara! Di sebalik pelbagai inisiatif dan mekanisme yang diperkenalkan untuk menyelesaikan isu hutang rupa-rupanya selama ini usaha terbabit boleh dikatakan gagal, malah Liga Malaysia (Liga M) adalah juara Asia dan naib juara dunia kes tunggakan gaji sejak beberapa tahun lalu.

Situasi terbabit sebenarnya menggambarkan keadaan tunggakan gaji dalam kalangan pemain bola sepak di negara ini cukup parah sehingga sukar untuk dirawati.

Pengkritik bola sepak dan bekas penasihat global kelab Blackburn Rovers di England pada 2012, Serbegeth Singh berkata, statistik yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) memalukan negara, sekali gus pihak berkaitan perlu bertanggungjawab dalam memulihkan kembali imej yang sudah tercalar.

Beliau berkata, masalah terbabit tidak perlu dinafikan lagi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), malah badan induk bolasepak negara itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan menyediakan perancangan lebih sistematik dan berkesan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Katanya, sebagai negara kerdil dalam bola sepak antarabangsa, kes tunggakan gaji tinggi boleh menimbulkan rasa takut pelbagai pihak terutama dalam kalangan pemain import dan penaja untuk terbabit dalam sukan nombor satu itu.

SERBEGETH Singh. FOTO Arkib NSTP
SERBEGETH Singh. FOTO Arkib NSTP

"Cukup memalukan apabila sebuah negara yang dilihat pada luaran tiada masalah namun hakikatnya menyimpan kes tunggakan gaji cukup tinggi malah juara di peringkat Asia.

"Adakah cukup teruk pengurusan pasukan atau kelab di negara ini sehingga tunggakan gaji pemain merekodkan antara tertinggi di dunia atau masalah berpunca daripada FAM yang gagal menyelesaikan isu berkenaan?

"Kes yang direkodkan Fifa itu membabitkan pemain yang membuat aduan, namun pada saya jumlah sebenarnya lebih banyak kerana tidak semua pemain akan terus ke badan induk bola sepak dunia itu jika berhadapan tunggakan gaji.

"Semua pihak berkaitan perlu cermin diri dan melihat kelemahan yang ada untuk diperbaiki segera supaya tidak ditertawakan oleh negara lain di atas kegagalan menyelesaikan masalah tunggakan gaji," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Shebby berkata demikian ketika mengulas mengenai data kes tunggakan gaji dalam liga bola sepak dunia yang dipaparkan di laman sesawang Fifa.

Greece negara paling bermasalah dengan kes tunggakan gaji sebanyak 291 kes yang sudah diluluskan oleh badan bola sepak dunia itu, manakala Malaysia kedua, 147 kes.

Negara ketiga yang mencatatkan kes tertinggi Turki dengan 138 kes diikuti Uruguay (76), Russia (69), Romania (65) dan Portugal (48).

Malah, di Asia juga menyaksikan Liga M di tangga teratas membabitkan kes tunggakan gaji dengan Iran dan India masing-masing di belakang mencatatkan 17 dan 15 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:30 AM