PEMAIN Swansea meraikan jaringan James (baring). FOTO AFP
PEMAIN Swansea meraikan jaringan James (baring). FOTO AFP
AFP

London: Swansea mencipta kejayaan terbesar dalam kempen Piala FA apabila Tammy Abraham dan Nathan Dyer mengetuai pesta gol dengan kemenangan 8-1 membelasah Notts County dalam pusingan keempat, semalam.

Swansea memulakan jaringan menerusi dua gol awal babak pertama dalam pertembungan di Stadium Liberty.

Penyerang Swansea, Abraham meledak gol pertama pada minit ke-18 disusuli jaringan Dyer.

Dyer menjadikan kedudukan 3-0 sebelum Noor Husin membalas untuk gol County pada minit ke- 36.

Cubaan Abraham sekali lagi berjaya menembusi gawang sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, giliran Kyle Naughton meletakkan Swansea selesa mendahului 5-1 apabila menyempurnakan sepakan sudut pada minit ke-53 sebelum Wayne Routledge menjaringkan gol keenam disusuli jaringan ketujuh oleh pemain tengah Tom Carroll pada minit ke-65.

Daniel James yang tampil buat pertama kali turut meledak satu gol untuk melengkapkan penderitaan Notts County dengan gol kelapan pada minit ke-84.

Kejayaan besar Swansea itu membolehkan pengendalinya, Carlos Carvalhal membalas dendam apabila bertemu Sheffield Wednesday yang memecatnya awal musim ini dalam pusingan kelima.

Huddersfield pula berdepan Manchester United dalam pusingan kelima selepas merakam kemenangan 4-1 ke atas Birmingham selepas tambahan masa.

Birmingham mendahului pada minit ke-52 apabila Che Adams menyumbat gol dari kotak penalti.

Huddersfield menyamakan kedudukan apabila pertahanan lawan, Marc Roberts tertampan bola ke gawang sendiri.

Rajiv van la Parra menjaringkan gol ketiga sebelum Tom Ince meledak gol keempat pada minit ke-106 untuk bertemu United.

Dalam pada itu, Rochdale, yang bergelut dalam Liga Satu membuat kejutan apabila mengatasi Millwall 1-0 sekali gus mara dan bakal bertemu sama ada Tottenham atau Newport, yang bertemu di Stadium Wembley, semalam.

Rochdale terhutang budi dengan gol tunggal oleh Ian Henderson pada minit ke-53 menyingkirkan Millwall yang menurunkan barisan lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:47 AM