ALLI (kiri) dikatakan bakal menerima bayaran setanding Kane. FOTO/AFP
ALLI (kiri) dikatakan bakal menerima bayaran setanding Kane. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Tottenham akan melayan kunjungan Everton esok dengan jaminan daripada pengerusinya, Daniel Levy bahawa pemain seperti Harry Kane dan Dele Alli tidak akan meninggalkan kelab itu bulan ini atau pada penghujung musim.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino kini tidak berada dalam kedudukan ke Liga Juara-Juara walaupun mereka boleh menyamakan kedudukan mata dengan pasukan tangga keempat, Liverpool jika mereka menang di Wembley dan mengatasi skuad kendalian Jurgen Klopp jika mengatasi Toffees lima atau lebih gol.

Namun kelab itu perlu membayar untuk stadium baharu dengan kapasiti 61,500 tempat duduk ketika pencabar mereka yang memiliki poket tebal mensasarkan pemain terbaik mereka.

Penjaring terbanyak, Kane dikhabarkan mahu dipancing Real Madrid dan juara bertahan itu juga dikaitkan dengan pemain tengah, Alli, selain Paris Saint-Germain. Pertahanan kiri Danny Rose dipercayai menjadi sasaran Manchester United.

Namun Levy menyatakan dengan jelas bahawa tempoh perpindahan kali ini akan digunakan untuk memperkuatkan skuad bukan melemahkannya, dan berkata dia juga akan menolak sebarang tawaran tidak diperlukan pada musim panas nanti.

“Saya yakin 100 peratus,” katanya. “Setiap pemain yang kami mahu kekalkan, saya boleh katakan pada anda, dia akan bermain buat Tottenham Hotspur musim depan.

“Strategi Mauricio ialah jika ada peluang, yang dia rasakan boleh membantu skuad, kemudian kita perlu melihatnya, namun Januari sentiasa menjadi tempoh perpindahan yang sukar.”

Levy sedang berunding dengan Alli mengenai kontrak baharu yang akan memberikannya bayaran setanding Kane, yang juga penerima gaji tertinggi di Tottenham dan kontraknya juga akan diperbaharui tidak lama lagi.

Pemain tengah Harry Winks masih diragui untuk pertemuan menentang Everton kerana kecederaan pergelangan kaki, Rose juga dijangka tidak bermain kerana masalah lutut manakala pertahanan tengah, Toby Alderweireld dalam proses pemulihan untuk kembali daripada kecederaan hamstring dialami pada awal November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 10:08 AM