KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai (tujuh dari kiri di barisan belakang ) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang bersama barisan penaja lain pada majlis perkenalan IJM Allianz Duo Highway Challange 2024, di Petaling Jaya, hari ini.
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai (tujuh dari kiri di barisan belakang ) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang bersama barisan penaja lain pada majlis perkenalan IJM Allianz Duo Highway Challange 2024, di Petaling Jaya, hari ini.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Sasaran 10,000 peserta diletakkan menjelang larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 pada 8 September ini, dengan edisi kali ini lebih istimewa dan bakal melakar sejarah tersendiri.

Ia susulan saingan kali ini babitkan maraton penuh sejauh 42 kilometer (km) berbanding sebelum ini hanya babitkan larian separuh maraton pada edisi lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai, pihaknya teruja dengan penganjuran kali ini selepas status larian ditingkatkan daripada separuh maraton kepada larian maraton penuh.

"Kali ini cabarannya pasti lebih sukar berbanding edisi lalu. Kita sasaran kali ini lebih 10,000 peserta menyertainya, dan saya difahamkan sekarang kita sudah ada 8,000 peserta yang sudah mendaftar.

"Bilangan itu akan meningkat dan kita tidak sabar untuk menganjurkan larian bagi edisi kali ini," katanya pada sidang media pelancaran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024, di sini, hari ini.

Larian 'First Full Highway Marathon' menawarkan lima kategori iaitu cabaran 1.5km bagi kanak-kanak, Fun Run 5km, larian 10km, larian 21 km dan larian penuh 42km.

Larian berkenaan juga akan babitkan dua lebuhraya NPE dan Besraya bermula dari Sunway Piramid hingga Ampang, sebelum berpatah balik ke Sunway Piramid.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, beliau menyimpan hasrat untuk melihat saingan kali ini tercatat dalam 'Malaysian Book of Records' kerana ia adalah larian maraton penuh pertama di negara ini.

Dalam perkembangan lain, bekas atlet negara dalam acara maraton, Muhaizar Mohamad berkata, penganjuran kali ini cukup mencabar terutama dengan kategori baharu maraton penuh.

"Untuk larian penuh adalah salah satu saingan yang termaktup dalam sukan teras, jadi ia sangat memberi perangsang kepada generasi baru untuk lebih berminat.

"Ia juga akan dapat meningkatkan mutu larian untuk pergi lebih jauh seperti saya dulu sehingga dapat mewakili negara ke Sukan Sea dalam acara maraton penuh," kata Muhaizar.

Bekas atlet berusia 39 tahun itu dilantik sebagai duta larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 pernah meraih dua pingat gangsa, masing-masing di temasya Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur dan Sukan Sea 2019 Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:41 PM