KIM Swee (tengah) mahu pemainnya biasakan diri dengan cuaca sejuk.
KIM Swee (tengah) mahu pemainnya biasakan diri dengan cuaca sejuk.
Zulfaizan Mansor


SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara akan mengharungi ujian pertama beraksi dalam cuaca sejuk apabila berdepan kelab Korea Selatan, Mokpo City FC, esok.

Melihat kepada keadaan cuaca di Mokpo, Korea Selatan, suhu hari ini mencecah dua darjah selsius dan ia jelas jauh berbeza dengan cuaca di Malaysia.

Justeru, jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee berharap pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan baik sebagai persediaan untuk mengharungi cuaca lebih kurang sama pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, awal bulan depan.

“Ini hari ketiga kami berlatih dan cuaca hari ini paling mencabar dengan keadaan sejuk dan berangin.

“Tapi pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan itu dan semua perancangan kami berjalan lancar seperti yang diinginkan.

“Saya harap perlawanan pertama berdepan Mokpo City, pemain dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik bukan saja dengan keadaan cuaca tapi juga dengan corak permainan lebih efektif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain berdepan Mokpo City, skuad Kim Swee juga akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan di Korea Selatan iaitu menentang Honam University pada Jumaat ini dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Selain itu, Kim Swee menjelaskan fokus beliau untuk perlawanan esok adalah untuk menguji barisan kesebelasan utama terkuat yang akan menggalas tugas di China nanti.

“Dua perlawanan persahabatan (berdepan PJ Rangers dan Melaka United) sebelum ini saya turunkan dua barisan pemain berbeza di babak pertama dan kedua.

“Jadi, untuk perlawanan esok saya akan turunkan pemain barisan kesebelasan kemungkinan yang akan bermain antara 60 hingga 70 minit.

“Ia bagi membolehkan pemain mendapat tahap kecergasan terbaik selain memperbaiki kelemahan yang ada ketika bertemu PJ Rangers dan Melaka United,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 8:22 PM