Reuters

LONDON: Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris meminta pengurus Manchester United, Jose Mourinho (gambar) menjelaskan komen yang dibuatnya sebelum pasukannya berdepan Manchester City dalam pertembungan musuh setempat Liga Perdana Inggeris Ahad lalu.

FA meminta Mourinho menjelaskan ‘pemerhatiannya’ terhadap komen yang dibuat pada 8 Disember lalu dalam temu bual menjelang perlawanan itu yang mana United tewas 1-2.

Bagaimanapun ia tidak menjelaskan komen yang perlu disiasat atau sebarang peraturan yang dilanggar, jika ada.

Ketika sidang media sebelum perlawanan itu, Mourinho mempertikaikan kemampuan pemain City untuk terus bertahan dengan berkata: “Ditiup angin sedikit, mereka akan jatuh.”

Beliau turut khuatir jika dibenarkan membuat kenyataan berbaur politik seperti rakan sejawatannya, Pep Guardiola yang memakai riben kuning sebagai protes terhadap aktivis politik pro kemerdekaan di Catalunya yang dipenjarakan.

FA sudah menyiasat insiden selepas perlawanan itu yang mana Mourinho dibaling dengan susu dan air apabila beliau dilaporkan merungut terhadap City yang meraikan kemenangan mereka di bilik persalinan Old Trafford yang disifatkannya sebagai keterlaluan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 12:46 PM