FAIZAL (kiri) dan Fitri sedia terima tawaran daripada pasukan lain. -Foto fail
FAIZAL (kiri) dan Fitri sedia terima tawaran daripada pasukan lain. -Foto fail
Naqib Nor Said


TIGA pasukan utama Liga Premier berminat mendapatkan khidmat Faizal dan Fitri Saari selepas wujud dakwaan Terengganu Hockey Team (THT) enggan menawarkan kontrak baharu kepada gandingan adik beradik itu.

Difahamkan keadaan itu berpunca daripada langkah kerajaan negeri Terengganu mengurangkan bajet pasukan, selain ingin tampil dengan skuad berwajah baharu pada musim depan.

Malah, beberapa pemain lain turut senasib dengan Faizal dan Fitri apabila difahamkan ada antara mereka yang kontrak tamat pada 31 Disember ini diarah supaya mencari pasukan baru bagi musim depan.

Setakat ini, hanya penyerang, Firhan Ashari dan Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil muncul dua pemain pertama yang sudah mengangkat kaki dan memilih berhijrah ke Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dengan langkah ini bermakna, THT bakal mempertaruhkan ramai pemain muda untuk musim 2018 yang akan dibantu kehadiran import Argentina diketuai pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat.

Ketika ditanya mengenai khabar angin itu, Fitri, 24, bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan sambil mengesahkan beberapa pasukan sudah menyatakan minat kepadanya.

“Itu hak THT dan saya sentiasa menghormati keputusan mereka.

“Katakan pihak pengurusan enggan menyambung kontrak, saya dan Faizal tiada masalah untuk berhijrah ke kelab lain kerana kami sudah menerima beberapa tawaran.

“Apapun buat masa ini saya belum bersedia membuat keputusan kerana masih di Oman, tunggu sebaik saya pulang dari Oman pada 23 Disember ini,” kata Fitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 8:03 PM