PEILLAT perkuat THT musim depan.
PEILLAT perkuat THT musim depan.
Saiful Affendy Sapran


DI sebalik kejayaan Terengganu Hockey Team (THT) menyambar pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat untuk saingan Liga Hoki Malaysia musim depan, juara bertahan Piala TNB itu masih belum pasti sama ada dapat menggunakan khidmat gandingan dua beradik, Faizal dan Fitri Saari.

Ini kerana, kontrak kedua-dua pemain itu bersama THT tamat tahun ini, dan baik Faizal mahu pun Fitri, kedua-duanya masih belum membuat sebarang keputusan pasukan mana yang akan diwakili musim depan.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Faizal berkata, dia akan mengikut segala keputusan yang dilakukan oleh adiknya, Fitri.

“Saya lihat dulu keputusan yang dilakukan oleh Fitri. Kemudian saya akan ikut pasukan mana yang dia ingin beraksi pada musim depan.

“Adik dengan abang tak boleh berpisah,” katanya ketika dihubungi.

Jelas penyerang sensasi negara itu, dia hanya akan membuat keputusan muktamad selepas pulang daripada beraksi di Liga Hoki Oman, hujung bulan ini.

Fitri yang turut beraksi di Oman berkata, dia juga akan membuat keputusan sebaik pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk terus kekal bersama THT musim depan. Saya tengah fikir. Tak tahu sama ada akan sambung semula kontrak dengan THT atau tidak,” katanya.

Faizal dan Fitri adalah antara watak penting di sebalik kejayaan THT meraih tiga kali kejuaraan Liga Premier dan empat kali Piala TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:48 PM