FITRI Saari (kanan) nanti keputusan MHC sebelum boleh beraksi di Liga Hoki Oman.
FITRI Saari (kanan) nanti keputusan MHC sebelum boleh beraksi di Liga Hoki Oman.
Saiful Affendy Sapran


FITRI Saari dijangka mendapat jawapan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) esok sama ada mendapat pelepasan atau sebaliknya untuk beraksi di Liga Hoki Oman bersama kelab Al Seed.

Pemain tengah skuad negara itu bagaimanapun yakin seharusnya tiada masalah untuk badan induk itu memberi lampu hijau kepadanya beraksi di Oman.

“Saya rasa tidak timbul sebarang masalah untuk MHC melepaskan saya untuk bermain di Oman. Sekarang saya hanya menunggu surat pelepasan daripada MHC saja,” kata Fitri.

Fitri mengakui mendapat tawaran daripada beberapa kelab di sana, namun dia lebih cenderung untuk memilih beraksi bersama Al Seed.

Sekiranya MHC memberi lampu hijau kepadanya, Fitri akan mengikut jejak langkah abangnya yang juga penyerang utama negara, Faizal Saari yang sudah pun beraksi di Oman lebih awal bersama Sohar Hockey Club.

Menurut Fitri, dia sedia untuk beraksi di sana meskipun anaknya, Muhammad Adam Zafran masih ditahan di hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

“Anak saya berada dalam keadaan stabil. Lagi pun ada keluarga dan isteri yang dapat menjaganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 7:13 PM