ANTONIO CONTE. -Foto AFP
ANTONIO CONTE. -Foto AFP
AFP

ANTONIO Conte jelas kecewa dengan kegagalan Chelsea menewaskan Arsenal minggu lalu, tetapi moral bos The Blues itu kembali meningkat menjelang kunjungan ke Stoke City, esok.

Selain penamat spekulasi membabitkan penyerang Diego Costa, pengendali kelahiran Itali itu memperoleh berita gembira apabila pemain bintangnya, Eden Hazard tampak sudah kembali ke prestasi terbaik.

Persengketaan Conte dan Costa terbukti menjadi ‘gangguan’ buat juara Inggeris itu musim ini selepas penyerang Sepanyol itu diberitahu dia tidak berada dalam perancangan jangka panjang di Chelsea.

Costa menyisihkan dirinya dari kelab itu dan menghabiskan kebanyakan masanya di Brazil dalam usaha untuk kembali ke pangkuan bekas kelabnya, Atletico Madrid.

Chelsea mengesahkan ‘pembuangan’ Costa semalam, dengan pemain itu secara rasmi akan kembali menyertai Atletico pada Januari.

COSTA akan kembali sertai Atletico pada jendela perpindahan Januari ini. -Foto AFP
COSTA akan kembali sertai Atletico pada jendela perpindahan Januari ini. -Foto AFP

Hazard yang diturunkan dalam kesebelasan utama buat pertama kali musim ini cemerlang ketika membantu Chelsea membelasah Nottingham Forest 5-1, minggu ini.

Conte mengakui sedar dengan kekuatan dimiliki Stoke dan menegaskan akan beraksi dengan kekuatan penuh dalam usaha merapatkan jurang tiga mata di belakang pendahulu, Manchester City.

“Kini apa yang paling utama ialah persediaan. Ini adalah perlawanan yang amat penting bagi kami,” kata Conte.

“Musim ini, Stoke menang di laman sendiri ketika menentang Arsenal dan seri apabila bertemu Manchester United. Kami perlu bersedia.”

Bertemu Stoke, Chelsea akan kehilangan pertahanan tengah berpengaruh David Luiz susulan penggantungan, namun tiada kebimbangan mengenai Pedro yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika bertemu Arsenal.

“Pedro cergas untuk bermain menentang Stoke pada Sabtu ini,” kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 11:45 AM