AHMAD (kiri)  perkuat bahagian kubu TFC 1.
AHMAD (kiri) perkuat bahagian kubu TFC 1.
Faizul Azlan Razak

Foto Mohd Syafiq Ambak

SELEPAS Muhammad Fauzi Abdul Kadar sah menyertai Terengganu FC I (TFC I), dua lagi tonggak T-Team bersetuju memperkuatkan pasukan itu mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dua tonggak The Titans itu ialah pemain pertahanan tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan bek kanan, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri.

Wan Ahmad Amirzafran berkata, dia akan berusaha keras merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Penyu musim depan.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui sedar cabaran musim depan pastinya lebih mencabar bersama TFC I, namun dia akan memberikan yang terbaik dan menyesuaikan diri lebih cepat dengan corak permainan di bawah pengendali pasukan, Irfan Bakti Abu Salim.

“Sebelum ini saya mendapat dua tawaran rasmi iaitu daripada pasukan jiran yang bermain dalam Liga Super dan sebuah pasukan negeri yang beraksi di Liga Perdana musim depan.

 KAMAL (kiri) beraksi di bek kanan.
KAMAL (kiri) beraksi di bek kanan.

“Namun, saya memilih tawaran TFC I dan harap corak permainan saya meningkat bersama TFC I dan merealisasikan sasaran pihak pengurusan menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Kamal Azizi berkata, dia sudah bersedia mengharungi cabaran baharu dengan TFC I selepas menuntut ilmu bersama T-Team.

Pemain kelahiran Ajil, Hulu Terengganu itu berkata, dia akan bekerja keras memastikan posisi pertahanan kanan menjadi miliknya selepas ketiadaan Firdaus Fauzi yang berpindah ke pasukan lain.

“Saya berjanji memberikan aksi terbaik dan membalas kepercayaan pengendali pasukan, Irfan Bakti yang mahu menggunakan khidmat saya dalam TFC I musim depan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 9:28 PM