IRFAN diintai Kuala Lumpur. — FOTO Owee Ah Chun
IRFAN diintai Kuala Lumpur. — FOTO Owee Ah Chun
Malik Muhamad


BELUM pun saingan Liga Malaysia (Liga-M) melabuhkan tirainya musim ini, proses memikat jurulatih untuk membawa cabaran pasukan masing-masing musim depan sudah bermula dengan beberapa nama besar mula diintai.

Antara nama besar yang dikatakan sedang ‘dipancing’ beberapa pasukan bagi mengharungi kancah liga musim depan termasuk bekas pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim dan jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria.

Irfan yang meletak jawatan mengejut sebagai ketua jurulatih TFC pada 15 Mei lalu susulan prestasi tidak konsisten skuad Penyu dilaporkan sedang diintai Kuala Lumpur seperti yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.

Manakala Ismail yang digelar pembunuh pasukan ‘gergasi’ ketika membantu Sime Darby FC mara ke final Piala FA 2012 sebelum muncul naib juara dikatakan sedang diintai beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

Ismail Zakaria
Ismail Zakaria

Bagaimanapun, Irfan yang membantu skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu menafikan beliau sudah sah menjadi milik City Boys musim depan.

“Tidak... ia tidak benar, mungkin itu andaian atau pandangan sesetengah peminat bola sepak negara yang mengaitkan saya dengan Kuala Lumpur musim depan.

“Malah ada juga yang mengaitkan saya dengan Perak musim depan, itu tidak tepat. Terlalu awal untuk saya membuat keputusan pasukan mana yang akan dibimbing tahun depan,” ujar jurulatih berpengalaman dari Perak itu.

Sementara itu, Ismail yang membantu skuad Lions Troops beraksi pada Piala Malaysia selepas berada di kedudukan kelima Liga Perdana, mengakui beliau diintai beberapa pasukan musim depan.

Bagaimanapun seperti Irfan, beliau menyatakan terlalu awal untuk memutuskan pasukan mana yang akan dibimbingnya musim depan.

“Ya, saya menerima tawaran daripada beberapa pasukan, perbincangan awal sudah diadakan tapi terlalu awal untuk saya membuat keputusan.

“Ketika ini, saya masih membimbing UiTM menghadapi kancah Piala Malaysia, jadi saya mahu fokus kepada UiTM terlebih dahulu biarpun sudah tidak mempunyai peluang layak ke suku akhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 11:34 AM