Irfan Bakti Abu Salim
Irfan Bakti Abu Salim
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu emosi ketika melayan kunjungan PKNS FC pada aksi sulung Liga Super 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Jumaat ini.

“Jangan terlampau emosi dan tertekan, mereka harus bermain seperti biasa dan perlu ada ketenangan, ini yang penting dan perlu dititikberatkan pemain.

“Selain itu saya ingatkan pemain tidak terlalu berhati-hati ketika beraksi kerana selalunya dalam perlawanan pertama mana-mana pasukan gemar bermain cara sedemikian,” kata Irfan.

Mengulas lanjut persediaan pasukannya menjelang pertemuan dengan skuad Semut Merah itu, Irfan menyatakan pemainnya kini berada pada tahap terbaik sebelum turun melayani kunjungan pasukan lawan bimbingan Datuk K Rajagobal itu.

“Pemain sudah bersiap sedia untuk perlawanan pertama ini kerana ia amat penting kepada kami untuk mengutip mata lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri selain pembakar semangat kepada mereka untuk aksi seterusnya.

“Perlawanan pramusim di Vietnam serta Kuala Lumpur sebelum ini mereka berjaya mempamerkan aksi meyakinkan dan saya juga sudah dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan sebenar pasukan serta sudah ada barisan kesebelasan utama,” katanya.

Irfan yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu turut gembira kerana semua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan kecuali kecederaan lama pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang dijangka sembuh Mei depan.

“Setakat ini tiada pemain cedera, ini melegakan kami, namun kami harapkan pemain yang bakal diturunkan perlu membuktikan kemampuan dan membantu pasukan mengutip mata penuh tidak sebagaimana musim lalu kami seri 2-2 dalam aksi pertama dan tewas 0-4 dalam pusingan kedua kepada pasukan itu pada saingan liga,” kata Irfan. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 3:43 PM