HAFIZ bersaingan sengit dengan Serrapica
HAFIZ bersaingan sengit dengan Serrapica
Sukhairi Thani


KEJUARAAN Superbike Malaysia Pirelli (MSBK) 2017 akan memasuki pusingan kemuncaknya hujung minggu ini.

Sudah pasti tumpuan utama terarah kepada perseteruan dalam kelas Superstock antara pelumba Switzerland, Jonathan Serrapica dan Mohd Hafiz Nor Azman bagi melengkapkan senarai juara musim ini yang sudah diisi Muhammad Farid Badrul Hisam (Superbike) dan Ismael Smajli (Supersport).

Berada di kedudukan kedua dengan 135 mata, ketinggalan 23 mata di belakang Serrapica (158) dalam kedudukan keseluruhan Superstock, fokus bakal terarah kepada pelumba pasukan Fastthrottle Motorsports, Mohd Hafiz yang sedang memburu gelaran pertamanya dalam MSBK.

Dengan 50 mata ditawarkan pada hujung minggu ini, Mohd Hafiz berada di tahap prestasi terbaik sejak tiga pusingan lalu dalam usaha merapatkan kedudukan dengan Serrapica sekali gus menjadikan pusingan akhir musim ini lebih mendebarkan.

Juara bertahan dari India musim lalu, Rajini Krishnan kecundang di tangan Muhammad Farid Badrul Hisam dalam kelas Superbike yang mengumpul 170 mata selepas empat pusingan sekali gus menyukarkan Rajini (117 mata) untuk menandingi bekas pelumba wildcard negara dalam kelas Moto3 itu.

Dalam pemburuan kelas Supersport, Smajli yang bersama pasukan BikeART Kawasaki juga sudah pun menjamin kedudukan juara pada Pusingan 4 dengan 164.5 mata, meninggalkan jauh pesaing terdekatnya Khurana Dhiraj yang sekadar mengumpul 104 mata.

JULIAN bersama keluarga sempat meraikan pra Tahun Baru Cina sebelum Olimpik Musim Sejuk. FOTO/JULIAN YEE
JULIAN bersama keluarga sempat meraikan pra Tahun Baru Cina sebelum Olimpik Musim Sejuk. FOTO/JULIAN YEE

Pertarungan dalam Terbuka 250 juga masih terbuka dengan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara pelumba negara Muhammad Aiman Tahiruddin, Muhammad Jazil Juraimi (Singapura) dan seorang lagi wakil tempatan, Luth Harith Erwan.

Pertembungan ini bagaimanapun lebih memihak kepada Muhammad Aiman yang setakat ini mempunyai kelebihan 23 mata (135) di depan Muhammad Jazil (112).

Luth Harith pula ketiga dengan 110 mata dan secara automatiknya masih berpeluang untuk memburu gelaran untuk musim ini.

Dalam kelas Piala KTM RC pula, ia akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Muhammad Ibrahim Norrodin - adik kepada pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin - dan Muhammad Izam Ikmal.

Dengan dua pusingan perlumbaan bakal disertai hujung minggu ini dan 50 mata ditawarkan, Muhammad Ibrahim sudah pun mengumpul 164 mata dan mendahului Muhammad Izam dengan kelebihan 14 mata. Ahmad Idham Khairuddin - adik kepada pelumba ternama negara, Zulfahmi Khairuddin berada di tangga ketiga dengan 101 mata.

Menambah lagi kehangatan MSBK kali ini pastinya penyertaan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang akan bertanding bersama pasukan SKM Speed dalam kelas Superbike.

“Ini adalah pentas untuk saya mengekalkan kecergasan dan cuba merekodkan catatan peribadi terbaik 2 minit 09 saat. Saya juga akan menggunakan penyertaan ini untuk menimba pengalaman dengan jentera 1,000cc dan cuba memberi saingan kepada pelumba berpengalaman seperti Muhammad Farid Badrul Hisam dan Azlan Shah (Kamaruzaman),” kata Hafizh.

Kedudukan keseluruhan setakat ini

Superbike -

1.Muhammad Farid Badrul Hisam (BMW HP4) 170 mata

2. Rajini Krishnan (Kawasaki ZX10R) 117

3. Jouni Karhu (Kawasaki ZX10R) 94

4. Khoo Chee Yen (Suzuki) 93

5. Mark Kendle (Kawasaki ZX10R) 84

Superstock

1.Jonathan Serrapica (Yamaha R1) 158

2. Mohd Hafiz Nor Azman (Honda CBR1000R) 135

3. Nasarudin Mat Yusop (BMW S1000RR) 98

4. Keith Parrot (Yamaha R1) 83

5. Adib Zulfadly Rosdin (Kawasaki ZX10RR) 82

Supersport -

1.Ismael Smajli (Kawasaki ZX6R) 164.5

2. Khurana Dhiraj (Honda CBR600) 104

3. M. Iqbal Quzaimy Azhar (Yamaha R6) 102

4. Azlan Shah Kamaruzzaman (Kawasaki ZX6R) 78

5. Chua Soon Wei (Yamaha R6) 63.5

Terbuka 250 -

1.Muhammad Aiman Tahiruddin (Yamaha R25) 135

2. Muhammad Jazil Juraimi (Kawasaki 250) 112

3. Luth Harith Erwan (Honda CBR250R) 110

4. M Vishwadev (Kawasaki 250) 89

5. Khairul Anwar Jamil (Honda CBR250R) 74 KTM RC

CUP -

1. Muhammad Ibrahim Norrodin (KTM) 164

2. Muhammad Izam Ikmal (KTM) 150

3. Ahmad Idham Khairuddin (KTM) 101

4. Zhou Sheng Jun Jie (KTM) 84

5. Md Aiman Nabil Shaharum (KTM) 79

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 12:02 AM