Dimitrov menjulang piala ATP Final selepas membenam cabaran Goffin. -Foto Reuters
Dimitrov menjulang piala ATP Final selepas membenam cabaran Goffin. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Grigor Dimitrov menewaskan David Goffin 7-5, 4-6, 6-3 untuk muncul juara ATP Final, awal pagi tadi sekali gus menjadi pemain pertama yang julung kali beraksi menjuarai kejohanan itu sejak 1998.

Dalam aksi final yang berlangsung di Arena London O2, pemain pilihan keenam dari Bulgaria itu mengatasi tekanan dialaminya bagi merangkul gelaran terbesar dalam kerjayanya di mata penentuan kelima.

Kejayaan itu akan melonjakkan Dimitrov ke ranking ketiga dunia, di belakang Rafael Nadal dan Roger Federer dengan dia kini dilihat sebagai bintang muda yang bakal menyinar.

“Ia adalah dua minggu yang hebat untuk saya. Ia satu penghormatan dapat beraksi di sini, minggu ini adalah antara yang terbaik untuk saya.

“Tiada perkataan yang boleh saya ungkapkan bagi menggambarkan perasaan saya. Pasukan dan keluarga saya sungguh menakjubkan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

AKSI Dimitrov ketika perlawanan akhir. -Foto Reuters
AKSI Dimitrov ketika perlawanan akhir. -Foto Reuters

Kelebihan nyata memihak kepada Dimitrov sebelum dia turun dalam aksi final itu berdasarkan rekod pertemuannya dengan Goffin, apabila menang empat daripada lima pertemuan termasuk kemenangan 6-0, 6-2 ketika aksi liga sepusingan.

Dimitrov menikmati musim terbaik sepanjang kerjayanya apabila turut merekodkan gelaran pertama pada saingan Masters di Cincinnati dan memenangi dua lagi gelaran daripada ATP Final, selain mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

Sementara itu, Goffin yang kecewa dengan kekalahan itu, berkata: “Ia minggu yang istimewa untuk saya, minggu yang penuh dengan emosi dan keletihan. Kini, saya berasa sangat letih tetapi ia minggu yang menakjubkan.

“Kami melakukan tugas yang menakjubkan. Ia sukar selepas tewas kepada Grigor dalam aksi kumpulan, ia sukar untuk kembali bangkit tetapi kami bekerja secara berpasukan,” katanya.

Walaupun tewas, pencapaian Goffin kali ini tetap menakjubkan apabila dia berjaya menewaskan pemain nombor satu dunia, Nadal dan pilihan kedua, Federer dalam laluan untuk ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 9:50 AM