PEMAIN B-19 (kiri) gagal menyekat kemaraan pemain Korea Selatan.
PEMAIN B-19 (kiri) gagal menyekat kemaraan pemain Korea Selatan.
Syafiq Aznan


RENTAK cemerlang skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara terhenti di tangan Korea Selatan selepas tumbang 0-3 pada aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Awam Paju, sebentar tadi.

Selepas cemerlang meraih tiga kemenangan berturut-turut dan menampilkan barisan terkuat pada aksi penutup itu namun anak buah Bojak Hodak itu tidak mampu memberi cabaran sekali gus membuktikan betapa masih ada jurang yang besar antara Malaysia dengan negara daripada Asia Timur itu.

Bagaimanapun, kekalahan di tangan pendahulu Kumpulan F itu masih belum menutup ruang skuad negara ke Kejuaraan B-19 AFC yang akan berlangsung tahun hadapan dengan peluang masih terbuka sebagai satu daripada lima pasukan naib juara terbaik sepanjang kempen kelayakan itu.

PEMAIN Korea Selatan meraikan jaringan kedua mereka.
PEMAIN Korea Selatan meraikan jaringan kedua mereka.

Dengan keputusan menentang pasukan tercorot bagi setiap kumpulan masing-masing tidak diambil kira, tiga mata yang diraih menerusi kemenangan ke atas Indonesia dijangka sudah mencukupi untuk anak buah Hodak untuk mengiringi ‘Taeguk Warriors’ itu ke kejohanan berprestij di Indonesia itu.

Malaysia berjaya memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan di awal permainan namun kegagalan menyekat hantaran lintang penjaring terbanyak kempen kelayakan, Cho Young Wook mengundang padah selepas Um Wonsang menanduk masuk gol pembukaan buat tuan rumah pada minit ke-11.

Malaysia kembali mengatur gerakan namun sekali lagi dikejutkan menerusi kesilapan pertahanan yang tidak menutup ruang dengan baik membolehkan Kim Jung Kim bergerak bebas sekali gus mudah meledak gol kedua menewaskan Muhammad Azri pada minit ke-37.

Ketika kedudukan separuh masa tampak berakhir 0-2, Korea Selatan menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti Young Wook yang meleretkan bola ke sebelah kiri gol sekaligus menewaskan Muhammad Azri buat kali ketiga dalam tempoh 45 minit pertama.

Babak kedua menyaksikan barisan pertahanan Malaysia beraksi dengan lebih baik dan berjaya menutup segala percubaan Korea Selatan dan beberapa pertukaran yang dilakukan Hodak tidak berhasil bagi mengurangkan defisit sekaligus membolehkan Korea Selatan meraih kemenangan selesa 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 5:06 PM