MUSTAPA (tiga dari kanan, hadapan) ketika program penanaman pokok bakau UGS. FOTO Ihsan UGS
MUSTAPA (tiga dari kanan, hadapan) ketika program penanaman pokok bakau UGS. FOTO Ihsan UGS
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Sasaran realistik apabila sebanyak 300,000 pokok bakau bakal ditanam merentasi Malaysia menjelang 2023 melalui Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS).

Ia adalah komitmen UMW Holdings Berhad (Kumpulan UMW), dengan kerjasama UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, terhadap kelestarian alam sekitar.

Inisiatif UGS itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Sri Mustapa Mohamed di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Mewakili Menteri Besar Kelantan pada majlis itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail selain program turut dihadiri Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Pelancaran Inisiatif UGS dilakukan melalui simbolik penanaman pokok bakau oleh Datuk Sri Mustapa selain disertai sukarelawan pelajar Universiti Malaysia Kelantan.

Sebanyak 1,200 pokok bakau ditanam di tapak terpilih di lokasi itu. Ia sebahagian daripada sasaran inisiatif UGS untuk menanam 10,000 pokok di seluruh pantai Tumpat, Kelantan dengan bekerjasama Yayasan Hijau dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Antara pihak lain yang menyokong inisiatif ini termasuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Perhutanan Negara dan jabatan negeri yang akan membantu dalam mengenal pasti lokasi utama untuk penanaman pokok dan menyelaraskan aktiviti.

Inisiatif UGS ini juga selaras dengan usaha kerajaan dalam Kempen Penanaman Pokok 100 juta Kebangsaan 2021-2025, yang dirasmikan pada Januari 2021.

Datuk Ahmad Fuaad berkata, kumpulan UMW ingin mewujudkan keseimbangan yang baik di antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar. Kami komited dalam usaha mencapai karbon sifar menjelang 2050, dan dengan itu, kami memilih untuk menerapkan kelestarian ke dalam keseluruhan strategi dan pendekatan perniagaan kami.

"Mempergiatkan aktiviti penanaman pokok adalah salah satu inisiatif Kumpulan UMW untuk menangani isu pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta menerapkan prinsip ekonomi sirkular dalam operasi perniagaan kami secara beransur-ansur.

"Adalah penting untuk semua orang memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim. Melalui inisiatif UGS, kami mengambil langkah ke arah pelaburan berasaskan alam semula jadi dari segi penyerapan karbon", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 10:05 PM