HERNANDEZ (kanan) sedia perbaiki situasi Hammers. FOTO/AFP
HERNANDEZ (kanan) sedia perbaiki situasi Hammers. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Javier Hernandez menegaskan komitmennya terhadap West Ham United menjelang perlawanan pertama kendalian pengurus baru David Moyes di Watford, Ahad ini.

Penjaring gol terbanyak Mexico itu menganggap tanggapan dia mahu kembali ke kelab pertamanya Chivas Guadalajara Januari ini sebagai “palsu semata-mata.”

Hernandez menempelak laporan akhbar Mexico menyatakan dia sedia kembali berikutan pelantikan Moyes, yang meminggirkannya di Manchester United.

“Saya komited 100 peratus untuk memperbaiki situasi kami di West Ham,” katanya dalam laman sesawang West Ham (www.whufc.com). “Seperti saya sering katakan, saya penyokong tegar Chivas tapi saya tidak pernah meminta untuk meninggalkan West Ham.”

Hernandez memulakan kariernya di Chivas, menjaringkan 29 gol dalam 80 penampilan selepas melakukan penampilan sulung ketika berusia 18 tahun pada 1986.

MOYES kembali warnai EPL.
MOYES kembali warnai EPL.

Satu daripada tugas pertama Moyes adalah memastikan tiada perbalahan antara keduanya berikutan masa mereka di Old Trafford apabila pemain Mexico itu merangkul dua kejuaraan dan 50 gol di bawah Alex Ferguson namun hanya beraksi enam perlawanan dan empat gol di bawah Moyes.

Pelantikan Moyes sebagai pengganti Slaven Bilic di West Ham mencetus hubungan kerjasama yang tidak dijangka antara kedua-duanya.

Dalam musim bermasalah yang mana West Ham menghuni tangga ke-18, Hernandez adalah penjaring gol terbanyak dengan empat gol liga.

Moyes minggu ini menjawab mengenai hubungannya dengan penyerang itu yang dianggapnya sebagai “peledak berbisa.”

“Dia tidak akan mendapat layanan istimewa,” ujar pengendali berusia 54 tahun itu. “Jika dia menjaringkan gol dan bekerja keras, dia akan disenaraikan. Ia sama dengan pemain lain dalam pasukan.”

Hernandez, yang hadir dari Bayer Leverkusen Julai lalu, tidak akan bermain menentang Watford selepas mengalami kecederaan hamstring ketika Mexico seri 3-3 dengan Belgium minggu lalu.

Kecederaan itu turut mengetepikannya bagi perlawanan menentang Leicester City dan Everton.

Ia bermakna Moyes mungkin menurunkan Andy Carroll di jentera serangan sekalipun penyerang itu belum menjaringkan gol musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 10:50 AM