Azlan Muhammad Zain

Golongan remaja yang gemar sukan berbasikal digalakkan hadir pada Siri Pertama Junior Cycling Malaysia (JCM) yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada Sabtu ini.

Ini kerana JCM bakal menjadi medan terbaik untuk mereka mempamerkan bakat sebelum diasah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Siri Pertama JCM yang diusahakan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Pelan Pembangunan Berbasikal MSN 2015-2023 akan mempertandingkan 18 kategori lelaki dan wanita.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan bagi lelaki membabitkan elit, masters kategori 1 (36 hingga 45 tahun), masters kategori 2 (46 tahun ke atas), novis (19 hingga 35), bawah 19, bawah 17, bawah 15, bawah 13, bawah 11 dan bawah 9 tahun.

Kategori wanita pula membabitkan elit, novis (19 tahun dan ke atas), bawah 19, bawah 17, bawah 15, bawah 13, bawah 11 dan bawah 9 tahun.

JCM turut mempertandingkan acara terbuka foldie, fixie dan BMX (bawah 15) selain push bike (kanak-kanak bawah 6).

JCM mempertandingkan saingan berbentuk kriterium dengan hadiah keseluruhan setiap siri adalah RM7,600.

Menurut Pengarah Kanan JCM Azhar Jamal, walaupun program ini memberi tumpuan kepada remaja, ia sebenarnya membuka peluang kepada semua peringkat umur yang meminati sukan berbasikal.

“Kami merancang mengadakan JCM di setiap negeri. Jadi kami membuka penyertaan dan kehadiran kepada semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Hanya peserta kategori menyertai elit dan bawah 19 untuk lelaki dan wanita memerlukan lesen dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Siri Pertama JCM pada Ahad ini adalah permulaan kepada sejumlah siri yang bakal dianjurkan di setiap negeri sepanjang tahun ini.

JCM dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan matlamat melahirkan pelumba mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta memastikan sukan ini meraih emas di pentas Olimpik.

Mereka berminat menyertai JCM boleh hadir sendiri untuk pendaftaran secara terbuka pada Jumaat dari jam 10 pagi hingga 8 malam.

Selain itu mereka boleh melayari laman web http://www.jcm.my untuk mengisi pendaftaran secara online. Maklumat lanjut boleh didapati dengan hubungi talian 03-64116411.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:23 AM