WAN Abdul Rahman (tengah) menang acara kriterium dan lebuh raya.
WAN Abdul Rahman (tengah) menang acara kriterium dan lebuh raya.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Pelumba kelahiran Terengganu sekali lagi membuktikan kewibawaan mereka dalam sukan berbasikal negara apabila mendominasi hari terakhir Junior Cycling Malaysia (JCM) Terengganu di Dataran Batu Buruk di sini, semalam.

Pelumba pasukan USPNTN Terengganu Wan Abdul Rahman Hamdan yang menjuarai acara kriterium kategori lelaki bawah 19 tahun kelmarin mencatat kemenangan berganda apabila meraih tempat pertama acara lebuh raya pula sekali gus mengulangi kejayaannya di JCM Putrajaya bulan lalu.

Wan Abdul Rahman mengungguli acara sejauh 112 kilometer itu selepas mengetepikan pelumba NSC-Pelapis Kebangsaan Muhamad Shaiful Mohd Shukri yang menghuni tangga kedua dan Zamirul Adlisham Zulkefli dari USPTN Selangor ketiga.

Menurutnya, dia berasa gembira dengan pencapaian berganda itu dan ternyata usaha gigihnya menjalani latihan berbaloi apabila berjaya melakar kemenangan berganda dan terbaik di tempat kelahirannya.

“Kemenangan itu memberi makna yang mendalam kepada saya kerana ia dicapai pada JCM Terengganu, ia sebahagian daripada persiapan awal sebelum menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

“Jika diikutkan esok (hari ini) saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun ia bukan alasan untuk saya tidak memberi 100 peratus fokus bagi mencapai kemenangan itu.

“Selepas SPM, saya akan menyertai Lomba Customs Cycling (LCC) di Bali yang dijadualkan dari 23 hingga 28 November dan berharap dapat melakar kejayaan di sana,” katanya semalam.

Berikutan kemenangan itu, Wan Abdul Rahman menyarung jersi kuning selain meraih hadiah wang tunai RM1,000 dan pingat manakala Muhamad Shaiful (RM700 dan pingat) dan Zamirul Adlisham (RM300 dan pingat).

Bagi kategori lelaki elit 112km, pelumba Terengganu Sofian Nabil Omar yang mewakili NSC-Program Kita Juara muncul juara selepas menewaskan pencabar utama Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dari Terengganu Cycling Team (TSG) dan pelumba USPTN Selangor Mohd Rauf Misbah di tempat ketiga.

Nabil berkata, dia bukan saja berpuas hati dan gembira dengan kemenangannya itu malah berasa lega kerana berjaya mengekalkan prestasi di tahap terbaik sebagai persiapan melayakkan diri ke Sukan SEA tahun depan.

“Saya akan kekalkan prestasi yang terbaik ini di bawah jurulatih Hanizam Basri untuk memastikan layak ke Sukan SEA nanti. Saya akan menyertai beberapa perlumbaan lagi selepas ini dan akan memberi persembahan terbaik bagi mengulangi kejayaan untuk menaiki podium.

“Memandangkan pada hari pertama (semalam) ketika acara kriterium berlaku kesilapan teknikal hingga gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik, saya memberi sepenuh tenaga untuk meraih podium dalam acara ini,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Nabil menyarung jersi kuning dan hadiah wang tunai RM2,000 serta pingat sementara Nur Aiman (RM1,250 dan medal) dan Mohd Rauf (RM700 dan medal).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:39 AM