Jellson (kanan) ketika beraksi dalam acara akhir 10 meter papan anjal seirama campuran pada FINA Diving Grand Prix Kuala Lumpur 2017. -Foto Bernama
Jellson (kanan) ketika beraksi dalam acara akhir 10 meter papan anjal seirama campuran pada FINA Diving Grand Prix Kuala Lumpur 2017. -Foto Bernama
Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Percaturan dengan menurunkan penerjun muda pada Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur FINA selama tiga hari yang berakhir semalam membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyumbang pingat buat negara.

Setiausaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian skuad negara secara keseluruhannya apabila mengumpul dua emas, empat perak dan satu gangsa.

“Persiapan kami bagi GP di Kuala Lumpur kali ini singkat berikutan tempoh yang suntuk selepas berakhirnya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

“Kali ini kami menurunkan ramai penerjun muda dan nampaknya mereka menunjukkan peningkatan yang baik. Selepas ini kami akan terus beri pendedahan kepada mereka supaya tidak ketandusan penerjun yang mampu mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Penerjun muda seperti Jellson Jabilin yang berusia 16 tahun menghadiahkan satu emas dan satu perak sementara Hanis Nazirul Jaya Surya dan Gabriel Gilbert yang juga berusia 16 tahun menghadiahkan perak.

Mae berkata, skuad terjun negara tidak akan sempat berehat kerana perlu menyiapkan diri untuk ke Grand Prix di Gold Coast pula dari 9 hingga 12 Disember ini.

“Grand Prix ini juga penting kerana penerjun negara dalam persiapan ke Sukan Komanwel yang juga akan diadakan di Gold Coast tahun depan,” katanya.

Pada hari terakhir kejohanan semalam, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga dengan dua emas, empat perak dan satu gangsa di belakang Korea Selatan dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 7:02 PM