KIEFER meninggal dunia di hotel.
KIEFER meninggal dunia di hotel.
Khairil S Iswan dan Saiful Affendy Sapran & Fadhli Ishak


DUNIA sukan permotoran dua roda dunia dikejutkan dengan kematian mengejut bos pasukan Moto2 Kiefer Racing, Stefan Kiefer, malam tadi menjelang perlumbaan Grand Prix Malaysia yang membuka tirainya, hari ini.

Berikutan itu, pasukannya yang ketika ini menyenaraikan dua pelumba, Dominique Aegerter dan Tarran Mackenzie menggunakan casis Suter dalam kelas pertengahan di Kejuaraan Motosikal Dunia mengesahkan tidak akan berlumba di Sepang sebagai penghormatan.

“Punca yang membawa kepada insiden tragik ini masih belum jelas buat masa ini. Bagi menghormati seluruh keluarga dan sanak saudara, pasukan Kiefer Racing tidak akan mengambil bahagian di GP Malaysia,” menurut kenyataan pasukan itu.

Difahamkan, Kiefer meninggal dunia di bilik hotelnya tetapi tiada maklumat tambahan diperoleh dan polis sedang menyiasat punca kematiannya.

Sejak menyertai saingan Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2003, Kiefer yang juga bekas pelumba adalah insan yang amat dikenali di kawasan paddock dan memiliki personaliti cukup disenangi.

Pasukan Kiefer Racing sebelum ini menjuarai gelaran Moto2 dunia bersama pelumbanya, Stefan Bradl.

Aegerter menerusi media sosial menulis: “Saya kehilangan kata-kata dengan apa yang berlaku malam semalam.

“Ia satu kejutan yang besar bagi kami dan amat merasai ketiadaan Stefan. Ingatan saya kepada keluarga dan rakan-rakannya. Dia jelas salah seorang bos terbaik pernah saya miliki, insan yang menakjubkan dan juga rakan yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 8:02 PM