Saiful Affendy Sapran


Suzuka, Jepun: Pasukan Satu Hati Honda Team Asia memenuhi sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik perlumbaan endurance Suzuka 8 Hours apabila menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 68 pasukan di Litar Suzuka, semalam.

Pasukan yang dibarisi pelumba negara Md Zaqhwan Zaidi, Dimmas Ekky Pratama (Indonesia) dan Ratthapong Wilairot (Thailand) itu menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan lima pusingan berbanding Yamaha Factory Racing Team (Katsuyuki Nakasuga, Alex Lowes, Michael van der Mark) yang muncul juara saingan memasuki edisi ke-40 itu.

Zaqhwan yang diturunkan sebagai pelumba terakhir berkata, jika tidak kerana berdepan masalah teknikal membabitkan lampu nombor di bahagian belakang, dia serta pasukannya mungkin mampu meraih keputusan lebih baik.

“Segala-galanya berjalan lancar hinggalah kami berdepan masalah lampu belakang yang tidak berfungsi kira-kira 30 minit sebelum tamat perlumbaan.

“Ketika itu kami berada di posisi kelima terbaik. Kami tidak ada pilihan lain selain perlu memasuki pit dan menukar lampu.

“Selepas itu saya hanya mempamerkan aksi sebaik mungkin dan akhirnya menamatkan saingan di kedudukan kelapan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Tempat kedua menjadi milik Kawasaki Team Green yang dibarisi pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman, Kazuma Watanabe dan Leon Haslam.

Azlan bagaimanapun tidak diturunkan pada saingan semalam kerana arahan pasukan.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan FCC TSR Honda dibarisi oleh Dominique Aegerter, Randy De Puniet dan Stefan Bradl.

Seorang lagi pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi untuk Team Kagayama bersama-sama Yukio Kagayama dan Naomichi Uramoto menamatkan perlumba di kedudukan ke-17.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 11:04 AM