Ajitpal Singh


MALAYSIA berada pada landasan terbaik untuk menamatkan kemarau pingat emas selama 11 tahun dalam acara berpasukan wanita pada Kejohanan Boling Remaja Asia di Coronado Lanes, Manila.

Pada aksi hari ini, skuad negara yang dibarisi Nora Lyana Nastasia Norkamal (gambar), Nur Amirah Auni Azman, Faten Najihah Ahmad Faik dan Nur Ameerahusna Aznel mencatat jumlah keseluruhan 2,505 jatuhan pin dalam blok pertama untuk mendapat kelebihan 36 jatuhan pin berbanding Singapura di tangga kedua.

Juara bertahan, Korea Selatan pula berada di kedudukan ketiga dengan 2,390 jatuhan pin.

Kali terakhir Malaysia menjuarai acara berpasukan wanita pada edisi 2006 di Perth.

Ammerahusna paling menonjol apabilamengumpul 717 jatuhan pin berbanding Faten (651), Nur Amirah (602) dan Nora (545).

Pengurus pasukan, Maradona Chok mengakui gembira dengan prestasi cemerlang skuad negara.

“Pemain berjaya mengatasi perasaan gementar mereka sepanjang blok pertama. Mereka berjaya mengatasi halangan permukaan lorong yang kurang licin hari ini dan ia bagus,” kata Maradona.

“Esok, mereka akan bermain dengan permukaan licin sepenuhnya dan ia lebih sukar. Mereka perlu meneruskan momentum dan memberi tumpuan sepenuhnya.”

Bagi kategori berpasukan lelaki, Malaysia yang diwakili Arif Iskandar, Hafiz Zainuddin, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam dan Brandon Ting sekadar di kedudukan kesembilan dengan catatan 2,304 jatuhan pin.

Korea mendahului selepas mencatat 2,667 jatuhan pin, diikuti Indonesia (2,580) dan Bahrain (2,558).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:05 PM