JUN Hao perlu belajar mengawal tekanan.
JUN Hao perlu belajar mengawal tekanan.
Fabian Peter

Kuala Lumpur: Pemain remaja negara, Leong Jun Hao mengakui tekanan menyebabkan dia terlepas daripada muncul juara pada Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia, semalam.

“Saya perlu belajar untuk mengawal tekanan,” kata Jun Hao yang juga juara remaja Asia.

“Saya bermain baik pada set pertama dan mendahului pada set kedua dengan 11 mata. Saya bagaimanapun terlalu cepat mahu menamatkan permainan dan menyebabkan saya mula melakukan kesilapan.”

Jun Hao, 18, tewas kepada pemain pilihan utama dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dengan 17-21, 21-15, 21-9 pada perlawanan akhir.

“Kunlavut bermain dengan tenang tetapi saya seperti hilang arah. Ia sangat mengecewakan,” katanya yang bermain dalam kejohanan remaja terakhirnya sebelum menyertai kejohanan senior pula selepas ini.

Sementara itu, jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS), Kwan Yoke Meng berkata, dia tidak kecewa terhadap persembahan keseluruhan skuad negara pada Kejohanan Remaja Dunia itu yang menamatkan saingan dengan dua perak daripada acara berpasukan campuran dan Jun Hao serta satu gangsa menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang juga juara 2015.

“Pertama sekali kita perlu terima kenyataan yang kita terlalu hampir untuk memenangi kejayaan tetapi tewas pada saat akhir.

“Jika kita bandingkan skuad tahun ini dengan skuad pada tahun sebelum ini di Bilbao, Sepanyol, kami mempunyai pasukan yang lebih kuat ketika itu.

“Bagaimanapun, peluang kami untuk memenangi sekurang-kurangnya dua gelaran lebih bagus tahun ini.

“Saya tak mahu katakan kita menghadapi keputusan yang buruk kerana sasaran kita adalah untuk melangkah ke dua final dan kami berjaya melakukannya. Ia adalah malang yang kita tidak menamatkannya dengan dua emas.”

Kali terakhir Malaysia memenangi gelaran pasukan campuran dan perseorangan lelaki adalah pada 2011 di Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:49 PM