LEONG JUN HAO
LEONG JUN HAO
Fabian Peter

LEONG Jun Hao meneruskan rentak cemerlang di Masters Thailand dengan mengejutkan pilihan keempat dari Hong Kong Hu Yun untuk menempah tiket ke separuh akhir hari ini.

Dalam kelompok lapan terakhir, naib juara Kejuaraan Remaja Dunia 2017 itu mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menewaskan Hu Yun 21-15, 20-22, 21-7.

Jun Hao yang turut meraih gelaran remaja Asia tahun lalu berkata: “Saya berpuas hati kerana bermain habis-habisan ketika menentang Hu Yun.

“Saya perlu mengekalkan rentak untuk pergi jauh dalam kejohanan ini. Esok saya akan berdepan pemain tempatan (Kantaphon Wangcharoen) dan saya sekali lagi akan cuba memberikan persembahan terbaik saya.

“Ini adalah tahun baharu, dan saya mempunyai sasaran yang perlu dicapai. Saya harap mampu menembusi kelompok 20 teratas menjelang akhir tahun.”

Turut menemani Jun Hao di separuh akhir ialah bekas beregu nombor satu dunia Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kembali bergabung selepas dipisahkan selama empat bulan.

Beregu negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan pasangan tuan rumah Supak Jomkoh-Pakin Kuna Anuvit 25-23, 21-16 di suku akhir, dan pemenang pingat perak Olimpik RIo itu akan bertemu satu lagi gandingan Thailand Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash untuk merebut tempat ke final.

Dalam acara perseorangan wanita, Soniaa Cheah mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan dari Jepun Natsumi Shimoda 21-16, 21-6. Pemain nombor satu negara itu bertemu pemenang antara pilihan utama Nitchaon Jindapol dari Thailand dan Gregoria Mariska dari Indonesia.

Turut mara ke separuh akhir ialah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan kelima, menyingkirkan wakil Australia Sawan Serasinghe-Setyana Mapasa 21-11, 21-13 di suku akhir dan akan berdepan Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul dari Thailand selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 10:48 PM