Fabian Peter


LEONG Jun Hao (gambar) meneruskan langkah cemerlangnya di Cabaran Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia apabila melangkah ke suku akhir, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki kebangsaan berusia 18 tahun itu menempah tiket ke kelompok lapan pemain terakhir selepas mengejutkan rakan senegara yang juga juara kebangsaan, Lim Chi Wing 13-21, 21-16, 21-12 di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

“Saya mengawal gelanggang dengan baik dan tidak terburu-buru. Ia adalah kunci kejayaan saya ke atas Chi Wing,” kata Jun Hao yang juga juara Remaja Asia itu.

“Saya tewas set pertama tetapi saya tetap bertenang. Chi Wing mula melakukan kesilapan dan faktor itu membuatnya lebih tertekan.

“Pada masa sama, saya tidak mahu terlalu yakin. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya mahu fokus kepada satu demi satu perlawanan,” katanya.

Naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2017 itu akan menentang pemain Indonesia, Krishna Adi Nugraha untuk ke separuh akhir, Sabtu ini.

Krishna melangkah ke suku akhir selepas lawannya yang juga pilihan ketujuh, Goh Giap Chin memberi kemenangan percuma.

Sementara itu, rakan sepasukan Jun Hao, Cheam June Wei turut mara ke suku akhir selepas menang 21-18, 18-21, 23-21 ke atas pemain Thailand, Thammasin Sitthikom.

Dalam acara perseorangan wanita, pilihan keempat, Ho Yen Mei berjaya mengetepikan cabaran pemain Thailand, Manassanan Lerthattasin 21-17, 21-18.

Yen Mei akan menentang pemain Indonesia, Ruselli Hartawan di kelompok lapan terakhir.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan utama Chooi Kah Ming-Low Juan Shen tewas mengejut 19-21, 27-25, 21-15 di tangan Lee Chia Han-Lin Chia Yu dari Taiwan.

Gandingan Taiwan itu akan menentang satu lagi beregu Malaysia, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 9:06 PM