NG Eng Cheong (kiri), Chang Yee Jun galas cabaran beregu lelaki negara berdepan India. FOTO/FERZALFIE FAUZI
NG Eng Cheong (kiri), Chang Yee Jun galas cabaran beregu lelaki negara berdepan India. FOTO/FERZALFIE FAUZI
Fabian Peter


JURULATIH badminton Sekolah Sukan Bukit Jalil Kwan Yoke Meng mahu anak didiknya berada pada tahap terbaik apabila Malaysia berdepan India dalam aksi suku akhir Kejohanan Remaja Dunia esok.

Semalam, Malaysia muncul juara Kumpula C selepas menundukkan pasukan kerdil Armenia dan New Zealand, kedua-duanya dengan keputusan 5-0 sebelum menundukkan Poland 3-0. Namun Yoke Meng sedar cabaran yang bakal diberikan India jauh lebih sengit.

“Saya gembira kita menang mudah di peringkat kumpulan, tetapi kita tidak boleh mengharapkan perkara sama apabila bertemu India nanti,” kata Yoke Meng ketika dihubungi di Yogyakarta.

“Saya akan menurunkan barisan terkuat kami kerana kami hanya mahukan kemenangan. Kemenangan di peringkat lapan terakhir, akan menyaksikan Malaysia bakal bertemu pemenang antara pilihan utama Korea Selatan dan Perancis, pada aksi separuh akhir Jumaat ini.”

“Untuk menewaskan India, kami perlu bermain pada tahap terbaik. Ia tentu lebih mudah buat kami jika bertemu pasukan kuat di pusingan awal tetapi ia tidak berlaku.Bagaimanapun saya masih gembira dengan persembahan skuad kali ini. Kami hanya perlu fokus untuk mendapatkan tiga mata pertama untuk memenangi pertemuan itu,” kata Yoke Meng yang berjaya membawa skuad itu ke final di Bilbao, Sepanyol tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Dunia ialah di Taiwan pada tahun 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 7:59 PM