MITROGLOU (kanan) menjaringkan gol ketiga Marseille. FOTO/AFP
MITROGLOU (kanan) menjaringkan gol ketiga Marseille. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Jaringan penyerang Greece, Kostas Mitroglou pada penghujung permainan menyelamatkan Marseille daripada mengalami kekalahan apabila mengikat Strasbourg 3-3, dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.

Seawal minit kelima, Dimitri Payet terlebih dulu meletakkan Marseille di depan dan Jean Eudes Aholou kembali menyamakan kedudukan (minit ke-31), namun Morgan Sanson menjadikan kedudukan 2-1, hasil jaringan pada minit ke-48.

Strasbourg kembali menyamakan kedudukan menerusi Bakary Kone pada minit ke-60 dan hampir meraih kemenangan kedua musim ini selepas meraih gol ketiga menerusi Dimitri Lienard (minit ke-74).

Bagaimanapun, Mitroglou yang meledak tiga gol ketika membantu Greece ke aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2018, memberikan sesuatu yang berharga buat Marseille apabila memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

“Mitroglou terbaik dalam hampir semua tindakan hebat yang kami lakukan. Dia boleh melakukan lebih baik, namun dia perlu diberikan masa. Ia satu mata yang berharga,” kata pengendali Marseille, Rudi Garcia.

Perlawanan itu juga menyaksikan penjaga gol Marseille, Steve Mandanda mencipta rekod baru kelab apabila turun buat kali ke-453.

Mandanda yang kembali ke Perancis selepas gagal menyinar bersama Crystal Palace di England musim lalu, mengatasi rekod lama pemain tengah, Roger Scotti yang memiliki 452 penampilan bersama Marseille dari 1942 hingga 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 10:14 AM