DURAKOVIC (dua dari kiri) ketika memerhatikan pemainnya berlatih di Stadium Perak. FOTO/BERNAMA
DURAKOVIC (dua dari kiri) ketika memerhatikan pemainnya berlatih di Stadium Perak. FOTO/BERNAMA
Syafiq Aznan


KEMENANGAN ke atas Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia malam esok dilihat akan menjadi hadiah ulang tahun kelahiran yang begitu istimewa buat pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Malah, ‘Pakar Piala Malaysia’ itu turut menyifatkan kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan itu akan membuatkan sambutan ulang tahun ke-52 yang jatuh semalam (Jumaat) menjadi lebih sempurna dan bermakna sekali gus sukar untuk dilupakan.

Bagaimanapun, pengendali dari Australia itu mengakui kemenangan perlu dicapai dengan jalan sukar terutamanya selepas The Bos Gaurus kehilangan beberapa pemain tonggak yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

“Persiapan untuk aksi Piala Malaysia berjalan lancar namun kami berdepan masalah kerana saya tidak dapat menggunakan khidmat beberapa pemain seperti Nazrin Nawi, Yashir Pinto dan Leandro dos Santos yang mengalami kecederaan.

“Jadi, saya akan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pemain muda dan saya mengharapkan pemain muda yang diberi peluang dapat memberikan persembahan terbaik pada perlawanan malam esok,” katanya.

Kemampuan Durakovic sebagai ‘Pakar Piala Malaysia’ sukar dinafikan apabila dia pernah merangkul piala berprestij itu secara hatrik pada 1995, 1996 dan 1997 ketika bergelar pemain The Red Giants selain memenanginya sebagai jurulatih Selangor pada 2015.

Mengulas lanjut aksi bertemu skuad bimbingan Ulisses Morais itu, Durakovic menuntut sokongan ‘pemain ke-12’ untuk memenuhi setiap sudut Stadium Perak sekali gus menimbulkan ‘Gelombang Kuning Hitam’ untuk memberi kemenangan psikologi kepada anak buahnya.

“Selepas 10 tahun, Perak akhirnya berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia. Jadi ini satu pencapaian membanggakan dan penyokong Perak perlu terus memberi sokongan padu kepada pemain yang berjuang musim ini.

“Secara peribadinya, saya lebih gemar aksi pertama di tempat lawan tapi inilah bola sepak. Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada Johor DT kerana kami juga mahukan kemenangan di laman sendiri sekali gus memiliki sedikit kelebihan untuk dibawa pada aksi kedua nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 5:22 PM