RIBERY menjalani sesi latihan bersama pasukan Bayern. Foto AFP
RIBERY menjalani sesi latihan bersama pasukan Bayern. Foto AFP
AFP

BERLIN: Franck Ribery melaungkan amaran yang Bayern Munich bakal berdepan ujian sukar di Bayer Leverkusen esok dalam misi mereka memburu kejuaraan keenam berturut-turut Bundesliga selepas rehat musim sejuk.

Skuad kendalian Jupp Heynckes kini mengatasi penghuni tangga kedua Schalke dengan kelebihan 11 mata, tetapi Leverkusen di tangga keempat dan ketinggalan 13 mata di belakang Bayern, masih belum tewas dalam 14 perlawanan sejak September lalu di bawah kendalian bekas pengendali Dortmund Heiko Herrlich.

Bayern menamatkan kalendar 2017 dengan enam kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, memulakan tahun baru di landasan terbaik untuk mengekalkan gelaran selepas prestasi kurang meyakinkan sehingga menyebabkan Carlo Ancelotti dipecat September lalu.

Namun Leverkusen berpeluang menjadi kelab ketiga selepas Hoffenheim dan Borussia Moenchengladbach, menewaskan Bayern dalam saingan liga musim ini.

Dengan enam gol dan empat umpanan, pemain sayap 20 tahun dari Jamaica Leon Bailey yang berpindah dari kelab Belgium Genk Januari tahun lalu, muncul pemain paling menyerlah Leverkusen pada babak pertama musim ini.

Penyerang Bayern Robert Lewandowski dan pertahanannya Mats Hummels masih belum pulih daripada kecederaan manakala bek kanan Joshua Kimmich menghidap selsema.

“Ia akan menjadi sukar di Leverkusen dan kami perlu memberikan persembahan terbaik untuk menang di sana,” kata Ribery yang kontraknya akan tamat akhir musim ini. “Saya mempunyai baki lima bulan lagi dan sentiasa ada banyak pilihan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 12:01 PM