PEMAIN Bayern gigih berlatih menghadapi aksi UCL menentang PSG. FOTO/AFP
PEMAIN Bayern gigih berlatih menghadapi aksi UCL menentang PSG. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Penjaga gol, Sven Ulreich berkata, Bayern Munich bertekad untuk membalas dendam kekalahan memalukan dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Paris Saint-Germain (PSG) apabila kedua-dua pasukan bertemu di Bavaria, Rabu ini.

Bayern tumbang 0-3 di Paris pada penghujung September lalu dengan Dani Alves, Edinson Cavani dan Neymar meledak gol di Parc de Princes yang membawa kepada pemecatan pengendali kelab gergasi Jerman itu, Carlo Ancelotti sebelum melantik bekas pengurus, Jupp Heynckes.

Sejak pelantikan Heynckes, Bayern menang 10 daripada 11 perlawanan mereka.

Dengan kedua-dua pasukan sudah pun melepasi peringkat 16 terakhir, Bayern perlu menewaskan PSG dengan kelebihan empat gol di Allianz Arena untuk menghuni tempat teratas kumpulan.

“Sudah tentu kami mahu membalas dendam. Pasti sukar untuk memenangi peringkat kumpulan, tetapi ia adalah membabitkan prestij dan kami mahu menunjukkan yang perlawanan pertama hanyalah kesilapan,” kata Ulreich kepada majalah Kicker.

Ancelotti menggugurkan beberapa bintang senior antaranya Arjen Robben, Franck Ribery, Jerome Boateng dan Mats Hummels dalam kesebelasan utamanya di Paris yang membawa kepada kekalahan besar itu.

Bayern juga berharap kekalahan pertama PSG dalam saingan Ligue 1 musim ini kepada Racing Strasbourg memberi kelebihan kepada mereka yang menang ke atas Hanover 96, 3-1 di Munich.

“Ia petang yang amat memberi tekanan kepada kami di Paris apabila kami tidak bermain dengan baik, tiada banyak arahan di belakang,” kata Ulreich yang mengambil alih tempat Manuel Neuer yang sedang cedera.

“Segala-galanya perlu berada dalam keadaan yang betul pada perlawanan itu nanti dan kami akan menunjukkan diri kami yang sebenar. Ia adalah perlawanan yang istimewa bagi kami semua.

“Liga Juara-Juara, menentang PSG, di depan gelanggang yang penuh di Munich, inilah perlawanan yang kamu semua impikan ketika kanak-kanak.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:51 PM