MORATA (tengah) tenang menewaskan penjaga gol Atletico Jan Oblak. - Foto REUTERS
MORATA (tengah) tenang menewaskan penjaga gol Atletico Jan Oblak. - Foto REUTERS
BATSHUAYI (kiri) beri Chelsea tiga mata penuh di Wanda Metropolitano. - Foto REUTERS
BATSHUAYI (kiri) beri Chelsea tiga mata penuh di Wanda Metropolitano. - Foto REUTERS
AFP

MADRID: Michy Batshuayi meledak gol kemenangan dramatik dengan sepakan terakhir perlawanan apabila Chelsea mencetus kekalahan pertama Atletico Madrid di gelanggang baru mereka Wanda Metropolitano awal pagi tadi dengan kemenangan 2-1 dalam Liga Juara-Juara.

Gol lewat pemain gantian Batshuayi adalah hasil daripada persembahan dominan Chelsea yang bagaimanapun ketinggalan menerusi sepakan penalti Antoine Griezmann lima minit sebelum rehat.

Bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata sekali lagi menghantui Atletico sekembalinya ke ibu negara Sepanyol itu apabila menanduk masuk hantaran silang Eden Hazard selepas sejam.

Batshuayi kemudiannya menyumbat gol yang dinanti-nanti pelawat pada minit ketiga masa kecederaan apabila menampan masuk hantaran silang Marcos Alonso dari sebelah kanan.

“Saya amat gembira buat pemain saya kerana mereka berhak bermain corak permainan sebegini apatah lagi bermain dengan cara ini bersama personaliti,” kata pengurus Chelsea, Antonio Conte.

“Anda boleh menang tapi melakukannya dengan cara bertahan dan serangan balas pantas amat memuaskan.

“Untuk datang ke sini dan bermain serta mahu memahami di mana kami berada, jawapannya yang kami dapat malam ini amat positif.”

Kemenangan itu memastikan Chelsea mengungguli Kumpulan C dengan enam mata daripada dua aksi pertama mereka di depan AS Roma, yang mengumpul empat mata selepas menang 2-1 ke atas pendatang baru Liga Juara-Juara dari Azerbaijan, Qarabag awal pagi tadi.

“Kami mempunyai pemain dalam pasukan untuk melakukan sesuatu: Alvaro, saya, Michy, Willian,” kata Hazard.

“Michy menyumbat gol setiap kali dia berada di padang! Dia boleh menjaringkan gol selalu. Saya terlalu gembira dengannya.”

Sebaliknya, hanya kekalahan kedua di laman sendiri dalam 24 aksi Liga Juara-Juara di bawah kendalian Diego Simeone bermakna Atletico berdepan masalah selepas meraih satu mata daripada dua aksi pertama mereka.

“Kami tidak boleh memperagakan permainan biasa kami. Lawan kami mempunyai intensiti yang lebih bagus, lebih baik secara taktikal dan teknikal,” kata Simeone.

“Kami tidak pernah berasa selesa dan Chelsea berhak menang kerana mereka bermain lebih bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 10:03 AM