ALARIO jaring gol pada minit ke-23. - Foto fail
ALARIO jaring gol pada minit ke-23. - Foto fail
AFP

BERLIN: Lucas Alario meledak gol pada penampilan sulungnya dalam Bundesliga apabila Bayer Leverkusen menang 3-0 di laman sendiri ke atas Hamburg awal pagi tadi, hampir sebulan selepas penyerang Argentina itu menandatangani kontrak.

Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-23 membantu pasukannya mendahului 2-0 selepas Kevin Volland membuka tirai jaringan buat tuan rumah di BayArena dengan pemain sayap Jamaica, Leon Baily mencipta kedua-dua gol itu.

Alario dibawa masuk menggantikan Javier Hernandez selepas pemain bergelar ‘Chicharito’ itu meninggalkan Leverkusen untuk menyertai West Ham sebelum musim bermula.

Alario diikat pada 31 Ogos lalu dari River Plate dengan harga 19 juta euro (RM95 juta) namun dokumen perundangan mengenai kontraknya menangguhkan penampilan sulungnya dan Leverkusen hanya mendapat kelulusan FIFA untuk menurunkan pemain itu Jumaat lalu.

Volland memecah kebuntuan selepas mendada bola dan merembat masuk pada minit ke-20.

Alario menggandakan kedudukan tiga minit kemudian apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Bailey.

Volland menambah gol keduanya dan ketiga Leverkusen pada minit ke-83 selepas Alario mengumpan kepadanya bagi melengkapkan penampilan sulung mengujakan.

Leverkusen melonjak ke tangga ke-10 manakala Hamburg di tangga ke-15, hanya satu tangga di atas zon penyingkiran.

Terdahulu, Hanover 96 dipaksa seri tanpa jaringan di laman sendiri oleh kelab tercorot Bundesliga, Cologne bagi mengekalkan juara bertahan Bayern Munich di tangga ketiga selepas mereka seri dengan Wolfsburg, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 10:10 AM