SCHICK (dua dari kanan) bagi memperkuatkan jentera serangan Leverkusen. FOTO Agensi
SCHICK (dua dari kanan) bagi memperkuatkan jentera serangan Leverkusen. FOTO Agensi
AFP

BAYER Leverkusen menggunakan sebahagian daripada dana selepas menjual Kai Havertz kepada Chelsea, apabila menandatangani penyerang Republik Czech, Patrick Schick dari AS Roma dengan kontrak selama lima tahun.

Selepas juga menjual penyerang, Kevin Volland kepada Monaco minggu lalu, Leverkusen, yang menamatkan saingan di tempat kelima Bundesliga, dilaporkan membayar €26.5 juta (RM130 juta) untuk mendapatkan Schick.

Schick musim lalu beraksi secara pinjaman di RB Leipzig dengan menjaringkan 10 gol dalam 28 perlawanan.

Pemain antarabangsa Republik Czech itu beraksi pada separuh masa kedua ketika kalah 0-3 kepada Paris Saint-Germain dalam separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Saya menyaksikan sendiri dalam perlawanan ketika mereka menentang Leipzig, ia sebuah pasukan yang hebat. Mereka bermain dengan agresif, beraksi secara menyerang, di mana saya suka dengan gaya itu.

"Saya sangat gembira dapat terus menyambung aksi di Jerman dan bermain di peringkat Eropah," katanya selepas Leverkusen layak bermain di Liga Europa musim depan.

Pengarah sukan Leverkusen, Rudi Voeller berkata, beliau tidak sabar untuk melihat Schick bergandingan bersama pemain sayap Jamaica, Leon Bailey dan penyerang Argentina, Lucas Alario.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 12:06 PM