ALARIO (kiri) melakukan jaringan pertama ketika menentang Gladbach. FOTO Agensi
ALARIO (kiri) melakukan jaringan pertama ketika menentang Gladbach. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Lucas Alario menjaringkan dua gol tatkala Bayer Leverkusen melonjak ke tangga keempat Bundesliga selepas mengalahkan Borussia Moenchenglabach 4-3.

Alario sekarang ini sudah meledak tujuh gol dalam enam perlawanan selepas dua kali menjaringkan gol penyamaan sebelum pemain sayap Jamaica, Leon Bailey dan tonggak tengah, Julian Baumgartlinger menjaringkan gol di separuh masa kedua buat Leverkusen.

"Ia adalah perlawanan yang sangat mendebarkan. Kami berjaya memberikan aksi terbaik dan dapat berehat untuk aksi perlawanan antarabangsa dengan tahap keyakinan tinggi," kata Baumgartlinger.

Alario yang berusia 28 tahun, meledak dua gol dalam setiap perlawanan pada tiga aksi terakhir liga, adalah penjaring kedua terbanyak di belakang penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Ketua pasukan Glabach, Lars Stindl menyempurnakan penalti selepas 18 minit perlawanan berlangsung apabila penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky menjatuhkan Breel Embolo.

Alario menyamakan kedudukan hasil rembatan lencong pada minit ke-27.

Stindl menambah gol kedua apabila dia menggunakan kesempatan di atas kesilapan hantaran pemain Leverkusen dan meledakkan rembatan.

Alario menyamakan kedudukan buat kali kedua apabila menanduk masuk menumpaskan penjaga gol Gladbach, Yann Sommer.

Leverkusen mengesahkan kemenangan apabila Bailey melepaskan rembatan di sudut sukar dan Baumgartlinger menamatkan gerakan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Bagaimanapun, gol paling cantik hadir pada minit ke-90 apabila pemain gantian Gladbach, Valentino Lazaro menggunakan bahagian belakang kaki bagi melepaskan sepakan voli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 12:43 PM