MAURICIO POCHETTINO
MAURICIO POCHETTINO
AFP

Swansea: Mauricio Pochettino percaya isu jadual padat tidak akan membelenggu pemain Tottenham Hotspur ketika mereka melayan West Ham dalam aksi tetangga London, awal pagi Jumaat ini.

Skuad kendalian Pochettino akan menanti kunjungan West Ham di Wembley selepas 48 jam meraih kemenangan 2-0 di Swansea sekali gus kembali menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

Gol bekas penyerang Swansea, Fernando Llorente yang didakwa ofsaid dan jaringan lewat Dele Alli membenarkan Spurs meraih kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan terakhir di semua kejohanan.

Sekalipun pemain-pemainnya mempunyai tempoh yang singkat untuk pulih, Pochettino percaya situasi sama turut berlaku kepada kedua-dua pasukan dengan West Ham turut bermain hari ini dan menewaskan West Brom 2-1.

“Saya tidak mahu merungut. Saya fikir kami akan tiba dalam keadaan yang sama seperti West Ham,” kata Pochettino.

“Ia pasti sukar buat semua pemain. Kita perlu merehatkan dan mungkin membuat beberapa perubahan bagi memberi peluang kepada pemain yang cergas berada dalam pasukan,” kata Pochettino.

“Ia adalah peluang bagi pemain lain untuk berada di dalam skuad. Saya tahu bagaimana keadaannya (jadual perlawanan) dibuat. Adalah mustahil untuk bermain sebelum tempoh ini.

“Kami perlu berehat dan membuat keputusan yang bagus.”

Pochettino menegaskan penyerang bintangnya, Harry Kane yang direhatkan dalam kesebelasan utama susulan masalah selsema ketika bertemu Swansea akan kembali cergas bagi aksi bertemu West Ham.

“Kita akan lihat (situasi Kane). Keputusan kami malam ini bagus, kerana sukar untuk berlari di atas padang. Kami berharap dia juga kembali sihat dan bersedia untuk kembali,” kata Pochettino.

Spurs sebelum ini kalah 2-3 kepada West Ham pada Oktober lalu dalam pusingan kelima Piala Liga ketika mereka memperoleh kelebihan 2-0.

Pochettino kemudian dikritik kerana menurunkan pasukan kedua tetapi menegaskan perlawanan pada Jumaat nanti tidak mempunyai unsur dendam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 11:28 AM