CHELSEA catat kemenangan 4-0 ke atas Brighton and Hove Albion. Foto AFP
CHELSEA catat kemenangan 4-0 ke atas Brighton and Hove Albion. Foto AFP

Brighton, United Kingdom: Selepas berjaya mencatat kemenangan pada aksi Liga Perdana malam tadi, tumpuan Antonio Conte pantas terarah kepada separuh akhir kedua Piala Liga menentang Arsenal minggu depan.

Kemenangan 4-0 Blues ke atas Brighton and Hove Albion - kemenangan pertama dalam tempoh 90 minit sejak awal tahun - menamatkan spekulasi mengenai persembahan turun naik skuad kendalian Conte.

Ketika jurulatih Chelsea itu jelas lega dengan persembahan anak buahnya terutama ketika menyaksikan Eden Hazard menghasilkan dua gol selain masing-masing satu menerusi Willian dan Victor Moses, beliau tegas mengatakan mereka perlu segera memikirkan soal peluang untuk ke final Piala Liga di Wembley nanti.

Keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Stamford Bridge bermakna saingan kini terbuka dan Conte berkata: “Bagi kami, memang penting apabila Hazard, Willian dan Moses menjaringkan gol.

“Tetapi mulai esok, semua pemain yang menjaringkan gol pada perlawanan ini perlu melupakan jaringan itu dan mencari gol baru di Arsenal nanti.

“Perkara paling penting ialah, gembira dengan prestasi hari ini tetapi esok, kami akan ada perlawanan penting dengan Arsenal dan kami perlu menang.”

Pengendali Itali itu menafikan pasukannya dilanda krisis selepas lima seri berturut-turut - kali terakhir ketika menentang Norwich City di Piala FA dan terpaksa ditentukan menerusi penalti.

“Sesiapa yang berkata begitu, perlu melihat kepada statistik,” kata Conte. “Kami tidak tewas sepanjang 14 perlawanan.

“Memang normal apabila seseorang lebih suka melihat kepada aspek negatif dan mengetepikan nilai positif. Tetapi pasukan ini, walaupun kami dikatakan berdepan masalah, kami tidak tewas sepanjang 14 perlawanan dalam semua pertandingan,” katanya.

“Ini bermakna kami bermain baik walaupun kami tidak menurunkan lima pemain utama: Cesc Fabregas, Danny Drinkwater, Thibaut Courtois, Pedro dan (Alvaro) Morata.”

Sementara itu, Conte menjangkakan Andreas Christensen akan kembali cergas untuk bertemu Arsenal selepas mengalami kecederaan ketika menentang Brighton dan Hove Albion. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 10:14 AM