GIROUD (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan. -FOTO/ REUTERS
GIROUD (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan. -FOTO/ REUTERS
AFP

LONDON: Penyerang Arsenal, Olivier Giroud mengakui dia hampir meninggalkan kelab itu ketika musim berhenti rehat sebelum memutuskan untuk kekal kerana “ceritanya belum berakhir.”

Pemain kebangsaan Perancis itu makin terpinggir selepas kedatangan pemain termahal kelab dan rakan senegara Alexandre Lacazette musim ini namun masuk dari bangku simpanan dalam semua perlawanan Gunners setakat ini musim ini.

Danny Welbeck turut dilihat berada dalam pertimbangan pengurus berbanding Giroud, namun pemain berusia 30 tahun itu dijangka mendapat peluang untuk memukau sejak mula pada aksi Liga Europa menentang Cologne, awal pagi esok.

ISTERI Giroud, Jennifer sentiasa memberi sokongan untuk kekal bersama Gunners.
ISTERI Giroud, Jennifer sentiasa memberi sokongan untuk kekal bersama Gunners.

Pengurus Arsene Wenger akan melakukan beberapa rombakan ketika Arsenal beraksi dalam pertandingan itu buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun, dengan Giroud dijangka terbabit dalam rombakan itu.

Penyerang itu, yang meledak gol kemenangan lewat permainan pada hari pembukaan Liga Perdana ke atas Leicester City, bergelut untuk meraih tempat dalam pasukan utama di Stadium Emirates dan mengakui dia hampir meninggalkan pasukan itu selepas dikaitkan dengan Everton dan West Ham United.

Ditanya sejauh mana dia hampir meninggalkan Arsenal, Giroud berkata: “Sebenarnya ia satu keputusan yang agak sulit kerana benar saya hampir meninggalkan kelab ini kerana saya katakan saya mahu bermain.

“Namun selepas menerima pandangan orang yang rapat dengan saya termasuk keluarga dan rakan karib, saya memutuskan untuk kekal di Arsenal dan saya fikir ceritanya belum berakhir lagi di Arsenal.

“Kelab ini banyak memberi dan saya fikir perlu membalasnya. Saya masih mahu meningkat dan terus meningkat dan dengan beberapa trofi bersama kelab, jadi seperti saya katakan kepada bos, cerita kami belum berakhir, lantas setiap orang gembira dengannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:00 PM