FROOME mendahului perlumbaan dengan 2 minit 15 saat.
FROOME mendahului perlumbaan dengan 2 minit 15 saat.
AFP

ALTO DE L’ANGLIRU, Sepanyol: Pelumba Team Sky, Chris Froome hampir pasti mengesahkan kemenangan dalam jelajah berbasikal Vuelta a Espana tahun ini apabila terus melebarkan jurang di depan pencabar terdekat Vincenzo Nibali ketika Alberto Contador memenangi peringkat ke-20 dalam perlumbaan terakhirnya sebelum bersara.

Melainkan berlaku insiden luar dugaan pada peringkat terakhir di sekeliling Madrid hari ini, Froome, yang kini berada 2 minit 15 saat di depan pencabarnya dari pasukan Bahrain-Merida, akan mengukir nama dalam sejarah sebagai pelumba ketiga berjaya memenangi Tour de France dan Vuelta pada tahun sama.

Namun peminat tempatan lebih meraikan kejayaan pelumba kesayangan mereka Contador yang memberi hadiah persaraan dengan kemenangan pada peringkat sukar itu dengan catatan 3 jam 31 minit 33 saat dalam kayuhan sejauh 117.5km dari Corvera de Asturias ke Alto de l’Angliru.

Pemenang Vuelta tiga kali itu yang kini mencecah usia 34 tahun, memastikan kemenangan peringkat buat kali keenam di Vuelta dalam kerjayanya apabila mula menjarakkan diri pada permulaan pendakian menyeksakan ke puncak Angliru.

Namun pelumba pasukan Trek itu gagal menempatkan dirinya dalam kedudukan podium klasifikasi individu keseluruhan apabila sekadar berada di tangga keempat terbaik apabila pelumba Katusha, Ilnur Zakarin memintas Wilco Kelderman (Sunweb) untuk berada di tangga ketiga.

Seperti peringkat pendakian sukar sebelum ini, Froome sekali lagi mendapat bantuan dan perlindungan terbaik daripada rakan sepasukan Sky, Wout Poels sebelum mengejar Contador pada baki 2km terakhir.

Impian pelumba Itali, Nibali untuk melakukan sesuatu pada peluang terakhir merampas jersi pendahulu merah itu tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan ketika mengambil selekoh tajam ketika menuruni bukit sebelum pendakian ke Angliru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:39 PM