N Thanabalan (dua dari kiri).
N Thanabalan (dua dari kiri).
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Penyerang N Thanabalan mahu skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menggenggam tiket ke separuh akhir lebih awal dengan menewaskan pasukan pilihan Myanmar dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Isnin ini.

Penjaring gol kemenangan ke atas Singapura itu berkata, mereka tidak perlu memilih jalan sukar dengan menunggu sehingga aksi terakhir dengan Laos pada 23 Ogos ini untuk memastikan tempat ke separuh akhir malah kemenangan ke atas Myanmar itu juga bakal mencerahkan peluang muncul juara kumpulan.

“Misi kita belum habis lagi, baru dua perlawanan dan masih ada dua lagi aksi peringkat kumpulan. Kita kena kerja keras untuk layak ke separuh akhir.

“Kalau kita dapat menang dengan Myanmar, mungkin kita akan menjadi juara kumpulan untuk bertemu pasukan naib juara Kumpulan B. Tapi tak boleh leka, kita tidak boleh ketinggalan seperti perlawanan tadi (kelmarin), Myanmar pasukan kuat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan dengan Singapura di Stadium Shah Alam kelmarin.

Skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berada dalam landasan tepat untuk mara ke separuh akhir selepas gagal melakukannya dua tahun lalu dengan meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas Brunei dan Singapura dengan 2-1.

Paling mencuri tumpuan, Thanabalan, 22, yang hanya masuk pada separuh masa kedua untuk menyumbat gol kemenangan Malaysia ke atas Singapura pada minit ke-73.

Pemain FELCRA FC itu direhatkan pada perlawanan pertama namun dia membuktikan Kim Swee membuat keputusan tepat dengan menyenaraikan namanya dalam skuad ini meskipun ditimpa kecederaan lutut kanan sebelum saingan bermula.

“Kecederaan saya sudah OK, harap perlawanan seterusnya boleh bermain dalam kesebelasan utama,” katanya.

Prestasi Thanabalan semakin menjadi sejak Kim Swee mengambil alih pasukan daripada Frank Bernhardt Mac lalu dengan dia kini merekod lapan gol daripada sembilan perlawanan termasuk satu jaringan ketika menewaskan Myanmar 2-0 pada aksi persahabatan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:47 PM