HAIKAL (tengah) akan lakukan apa sahaja untuk rebut tempat pelari nombor  satu 4x100 meter. -Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
HAIKAL (tengah) akan lakukan apa sahaja untuk rebut tempat pelari nombor satu 4x100 meter. -Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Aida Adilah Mat


PELARI 100 meter Haikal Hanafi akan melakukan apa saja bagi merebut tempat sebagai pelari nombor satu kuartet 4x100 meter negara untuk Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Ketika kuartet 4x100m wanita negara dipalit kontroversi, episod berbeza dalam kuartet 4x100m lelaki dengan persaingan perebutan satu lagi slot kini menjadi rebutan Haikal dan Nixson Kennedy

Saingan antara mereka sudah sampai ke kemuncaknya untuk menentukan siapa bakal berlari bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

Rabu lalu, ujian masa dilakukan bersama pasukan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menilai tahap prestasi kedua-dua atlet terbabit.

Namun bagi Haikal, selagi jurulatih tidak memaklumkan siapa akan mengalas tugas pelari pertama, dia tidak akan berputus asa.

“Saya akan terus fokus dan serius dalam latihan. Perebutan antara saya dan Nixson sangat sengit,” katanya.

Aksi Haikal menyerlah apabila meraih pingat perak dengan catatan 10.55s di Kejohanan Terbuka Malaysia.

Namanya mula menjadi sebutan apabila menjadi antara pelari memecahkan rekod kebangsaan 4x100m di Terbuka Vietnam bulan lalu, dengan catatan 39.62 saat.

Memiliki catatan terbaik peribadi 10.48s yang dilakukan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Haikal dilihat mempunyai bakat untuk terus menyerlah dalam acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 3:11 PM