Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari 100 meter negara Haikal Hanafi akan melakukan apa saja dan berharap rezeki dalam perebutan tempat selaku pelari nombor satu dalam kuartet 4x100 meter ke Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) menjadi miliknya.

Ketika 4x100m wanita negara dipalit kontroversi, episod berbeza berlaku dalam kuartet 4x100m lelaki negara dengan persaingan perebutan baki satu lagi slot masih menjadi persoalan membabitkan Haikal dan Nixson Kennedy.

Saingan antara Haikal dan Nixson sudah sampai ke kemuncaknya dan siapakah yang akan berlari bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap akan diketahui tidak lama lagi.

Rabu lalu, satu ujian masa dilakukan bersama pasukan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menilai tahap prestasi kedua-dua atlet terbabit.

Namun bagi Haikal, selagi jurulatih tidak memaklumkan siapa yang akan menggalas tugas selaku pelari pertama, dia tidak akan berputus asa.

“Saya akan terus fokus dan serius dalam latihan.

“Perebutan antara saya dan Nixson sangat sengit dan hanya Allah akan tentukan siapa yang akan berlari dalam acara itu,” katanya.

Namun, pelari berasal dari Melaka itu tetap positif dan andai tiada rezekinya untuk beraksi di temasya dwitahunan itu, mungkin peluangnya akan terbuka untuk temasya Sukan Asia atau Komanwel tahun depan.

Aksi Haikal semakin menyerlah apabila dia meraih pingat perak dengan catatan 10.55s ketika di Kejohanan Terbuka Malaysia.

Namanya mula menjadi sebutan apabila dia antara pelari yang memecahkan rekod kebangsaan 4x100m ketika di Terbuka Vietnam dengan catatan 39.62 saat bulan lalu.

Memiliki catatan terbaik peribadi 10.48s yang dilakukan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Haikal dilihat mempunyai bakat untuk terus menyerlah dalam acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:52 AM