myMetro

Kuala Lumpur: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) kekal tenang dan fokus menjelang undian Kejohanan Dunia yang akan diadakan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Chong Wei yang sekarang ini menghuni ranking kedua dunia, mengakui ia sama saja walaupun dia diletakkan sebagai pilihan pertama atau kedua di kejohanan berkenaan kerana paling penting buatnya siapa lawan ditentang.

“Pilihan pertama atau kedua sama saja, lebih kurang. Apabila undian sudah keluar esok (hari ini) saya mahu lihat siapa lawan siapa. Dari situ saya boleh mula untuk melakukan persiapan mengikut pemain lawan yang akan saya temui,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Jelasnya, selepas mengetahui susunan undian dan pemain yang akan ditentang, dia bersama ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek bakal melakukan perbincangan mengenai skop latihan.

“Kita akan melihat kembali persediaan berdasarkan permainan yang akan digunakan oleh pemain lawan. Saya tidak boleh fokus diri sendiri saja, pemain lawan juga harus diberi perhatian.

“Paling penting ialah memberi tumpuan kepada persiapan diri sendiri dan kondisi yang baik. Ini penting kerana kalau asyik fokus kepada pemain lawan tapi kondisi tidak dijaga ia memang sia-sia. Kita akan tunggu undian keluar esok dan bincang mengenai taktikal yang akan digunakan ke atas pemain berlainan,” kata Chong Wei.

Pemenang perak Sukan Olimpik Beijing (2008), London (2012) dan Rio (2016) itu berkata, dia tidak boleh memandang rendah dan perlu fokus kepada semua pemain terutama sekali dari China yang mempunyai empat wakil termasuk Lin Dan serta Chen Long.

“Saya cuba memberikan permainan terbaik dan fokus satu demi satu perlawanan dan tidak perlu terus fikir mengenai siapa yang akan saya jumpa di suku akhir mahupun separuh akhir selepas undian selesai esok.

“Kita dapat lihat di Olimpik Rio sebelum ini, banyak kejutan dalam acara beregu lelaki dan campuran. Paling penting saya kekal fokus kepada diri sendiri bermula dari sekarang,” katanya yang berkemungkinan berdepan Chen Long atau Lin Dan di suku akhir nanti.

Chong Wei yang akan berlepas ke Glasgow minggu depan turut diiringi dua pemain perseorangan lelaki, Choong Yee Han dan Tan Jia Wei, dengan kedua-dua rakan senegara itu bakal dijadikan ‘rakan sparring’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 10:02 AM