LEE CHONG WEI
LEE CHONG WEI
Helmi Talkah

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui lebih bersemangat dan teruja untuk mempamerkan aksi terbaiknya kepada peminat tempatan menjelang saingan Terbuka Malaysia yang bakal bermula 26 Jun hingga 1 Julai ini di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata walaupun dia berdepan laluan sukar dalam misi merekodkan gelaran ke-12 kejohanan berkenaan, namun itu bukan penghalang kerana apa yang lebih penting dia tampil dengan prestasi terbaik di laman sendiri.

“Kalau melihat kepada undian, memang saya berdepan cabaran sukar tetapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mana-mana kejohanan pun lebih kurang sama saja undiannya. Apa yang penting saya berikan yang terbaik.

“Kali ini bermain di laman sendiri, jadi sudah pasti saya lebih bersemangat dan diharapkan dapat menunjukkan aksi terbaik kepada peminat yang selama ini menyokong saya,” kata Chong Wei yang gagal dalam misinya merekodkan kejuaraan ke-12 tahun lalu di Kuching, Sarawak.

Pada aksi di Kuching, Chong Wei terpaksa akur apabila tewas dalam aksi final di tangan bintang sensasi China, Lin Dan yang merekodkan gelaran pertamanya pada Terbuka Malaysia.

Berdasarkan undian, Chong Wei berdepan laluan berliku pada edisi tahun ini apabila empat musuh utamanya iaitu Viktor Axelsen , Chen Long, Shi Yuqi dan Lin Dan dijangka menjadi lawannya dalam laluan ke final.

Chong Wei, 36, akan membuka tirai saingan menentang pemain Jepun, Kazumasa Sakai di pusingan pertama dan jika menang dia kemungkinan bertemu pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Axelsen yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, hampir pasti menantinya jika layak ke suku akhir manakala salah seorang daripada tiga pemain China iaitu Chen LOng, Lin Dan, Shi Yuqi akan menjadi lawan di separuh akhir.

“Undian kali ini memang sukar tetapi saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai lawan saya. Lebih baik saya fokus terhadap persiapan diri sendiri.

“Undian sudah keluar dan saya akan fokus bagi melakukan persiapan menghadapi situasi paling sukar dalam perlawanan nanti. Saya juga tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri dan akan menikmati setiap perlawanan,” kata pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 5:06 PM