COUNTINHO aset Liverpool.
COUNTINHO aset Liverpool.
Reuters

Hong Kong: Juergen Klopp tegas mengatakan bahawa Liverpool tidak akan melepaskan pemain terbaik mereka dan kenyataan itu hadir selepas spekulasi mengenai perpindahan pemain tengah Philippe Coutinho ke Barcelona semakin hangat kedengaran.

Kelab gergasi Sepanyol itu dipercayai membuat bidaan sebanyak £70 juta (RM390.3 juta) untuk mendapatkan pemain Brazil itu.

“Saya kagum apabila ada kelab besar yang mahukan pemain saya, tetapi ia bukan khabar yang menggembirakan,” katanya.

“Saya tidak bermaksud kami tidak memerlukan berita begitu dan bukan sesuatu yang menghairankan apabila orang berkata bahawa Liverpool mempunyai beberapa pemain hebat.

“Tetapi, kami mempunyai mesej buat semua kelab yang mahukan pemain kami. Kelab ini tidak akan menjual pemain utama mereka. Itu saja.

“Kami percaya bahawa kami sudah semakin mantap bersama, kami membangun bersama dan kami masih lagi mahu bekerjasama. Kami mahu terus ke peringkat lebih tinggi secara bersama-sama dan itulah sebabnya mengapa kami perlu kekal begini.”

Coutinho menjadi antara tonggak utama Liverpool musim lalu yang menyaksikan skuad kendalian Klopp itu memberi saingan sengit untuk menjuarai Liga Perdana sebelum tergelincir ke tangga keempat dan layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Klopp masih lagi mengharapkan kepada pemain berusia 25 tahun itu untuk membawa Liverpool menjuarai Liga Perdana buat kali pertama sejak 1990.

“Phil seorang pemain yang sangat penting buat kami, tetapi kami perlu memastikan bahawa kami mampu bermain lebih baik apabila dia tidak bersama,” kata Klopp.

“Ada beberapa perlawanan yang dia tidak beraksi dan apabila dia kembali, dia memerlukan sedikit masa untuk menemui semula rentak.

“Anda pasti mahu menurunkan pemain seperti Phil apabila dia berada pada tahap terbaiknya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 3:24 AM