Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang (gambar) hanya akan menyertai dua siri Piala Dunia dalam misinya untuk mengekalkan emas acara keirin di Piala Trek Dunia tahun depan.

Menerusi kalendar yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dua minggu lalu, ada empat siri Piala Dunia bermula di Poland (4-5 November), Manchester (10-12 November), Kanada (2-3 Disember) dan Chile (9-10 Disember).

Ia disusuli Kejohanan Trek Dunia 2018 di Apeldoorn, Belanda dari 28 Februari hingga 4 Mac.

“Saya dan jurulatih (John Beasley) masih belum berbincang secara khusus namun perancangan awal adalah untuk menyertai dua siri Piala Dunia yang awal. Kedudukan mata juga tiada masalah.

“Ia lebih kurang sama seperti yang kami lakukan tahun ini dengan fokus lebih kepada sesi latihan di Melbourne. Perancangan seperti ini jelas berjaya apabila saya menang di Hong Kong (juara acara keirin) pada edisi tahun ini,” ujarnya.

The Pocketrocket Man melakar sejarah berbasikal negara apabila muncul pelumba pertama dari Asia Tenggara bergelar juara dunia di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, dua bulan lalu.

Selepas menyertai Sukan SEA Ogos ini, jadual Azizul dilihat padat tahun depan apabila turut dijadual menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Sementara itu Azizul menjelaskan tidak berhasrat untuk berpangkalan sepenuhnya di Malaysia dalam masa terdekat walaupun Velodrom Nasional akan dirasmikan Khamis ini.

“Perancangan adalah berpangkalan di Melbourne kerana banyak pertandingan di sana. Seperti yang dibincang bersama Beasley sebelum ini, mungkin ada tempoh tertentu kami akan pulang berlatih di Malaysia,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:38 AM