BOON Heong dan Hendra mara final Terbuka Australia.
BOON Heong dan Hendra mara final Terbuka Australia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tan Boon Heong-Hendra Setiawan mempamer aksi memukau sejak bergandingan Januari lalu buat pertama kalinya mereka mara ke pentas final saingan bertaraf Siri Super di Terbuka Australia.

Lebih manis, kejayaan mara ke final selepas menewaskan pilihan ke-10 dari China Liu Cheng-Zhan Nan dalam perlawanan yang cukup sengit sebelum Boon Heong-Hendra muncul pemenang 21-15, 14-21, 21-17.

Jelas Boon Heong yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dua tahun lalu, dia serta rakan gandingannya dari Indonesia itu memberi fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan dalam usaha menewaskan lawan mereka itu.

“Pada set pertama mungkin lawan masih belum serasi dengan permainan hari ini (semalam), jadi kami berjaya memenangi set itu dengan mudah.

“Tapi, memasuki set kedua, kami berdua mula hilang fokus dan pada masa sama lawan menukar corak permainan mereka.

“Di set penentuan kami berasakan bulu tangkis bergerak agak laju. Kami hanya menumpukan kepada corak permainan di depan jaring dan banyak memungut mata,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, Boon Heong-Hendra akan bertemu pilihan ketiga kejohanan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda pada aksi final hari ini.

“Kami sudah berjaya melangkah ke final, jadi akan terus berusaha untuk memenanginya,” kata Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 5:17 AM